Konflik AS, Israel-Iran jejas pertumbuhan ekonomi Johor

Konflik AS, Israel-Iran jejas pertumbuhan ekonomi Johor

ONN Hafiz Ghazi menyampaikan sumbangan Bantuan Kasih Johor kepada pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Menteri Besar Johor di Saujana, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketegangan yang berlaku di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran akan memberi impak besar sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi Johor dan negara, sekiranya tidak dihentikan segera.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kunci utama pertumbuhan ekonomi buat mana-mana negara adalah kestabilan termasuklah bebas daripada ancaman peperangan.

Katanya, negara-negara perlu mendesak agar ketegangan itu dihentikan dengan segera.

“Jika kita lihat apa berlaku di Timur Tengah, ada satu peperangan yang kita doakan agar berhenti segera. Ini kerana pergolakan di sana akan menyebabkan impak besar bukan sahaja di benua itu tetapi di seluruh dunia.

“Apabila ada pergolakan akan ada kesan terhadap harga minyak, jadi sudah pasti ada kesan kepada Malaysia. Ini kerana apabila harga minyak naik, kesan domino akan berlaku kepada semua jenis perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Menteri Besar Johor di Saujana di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri lebih 200 pengamal media seluruh Johor.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap aspek keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini selari dengan konsep Bangsa Johor.

“Singapura berjaya tarik banyak pelaburan masuk kerana mereka stabil. Jika tiada kestabilan, murah macam mana atau insentif hebat mana sekalipun, tiada mana-mana pihak akan masuk melabur.

“Saya seru rakyat Johor sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asli sentiasa bersatu padu, itu rahsia Johor berjaya catat rekod kemasukan pelaburan tinggi sejak beberapa tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×