MUKADIMAH
IRAN kembali menjadi perhatian dunia apabila negara Timur Tengah itu diserang oleh Israel selepas rundingan perjanjian nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu, sekaligus mencetuskan perang yang berlangsung selama 12 hari, sebelum ia diakhiri dengan gencatan senjata.
Duta Iran di Malaysia, VALIOLLAH MOHAMMADI NASRABADI menyifatkan negaranya hanya sekadar mempertahankan kedaulatan negara dari diserang oleh anasir luar.
Ikuti temubual bersama HASIF IDRIS, OMAR ZIN dan jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI di Kedutaan Iran di Malaysia di Jalan U-Thant, baru-baru ini.
MENGAPA IRAN SERANG ISRAEL?
Dua bulan lalu, Iran dan AS mula berunding mengenai aktiviti nuklear dan kami mempunyai lima pusingan rundingan di Oman dan Mesir dan kami mengatur pusingan keenam di Oman pada hari Ahad. Tetapi pada awal pagi Jumaat, Israel menyerang Iran dan atas Artikel 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri, untuk bertindak balas dan inilah sebab kami bertindak balas.
Kami tidak suka perang, tetapi apabila seseorang menyerang kami, pasti kami akan membalas kerana ini adalah tugas kami untuk mempertahankan negara kami, rakyat dan semua orang di negara ini. Kami bertindak balas kepada mereka dengan melancarkan peluru berpandu ke Tel Aviv. Dan 12 hari kami berperang dengan Israel. Sepanjang 12 hari ini, mereka menyerang semuanya. Awalnya, mereka membunuh beberapa komander tentera, komander Iran dan juga saintis. Selepas itu mereka menyerang rumah, hospital, universiti seperti yang mereka lakukan di tempat lain seperti Palestin, Lubnan dan Syria.
WAJARKAH ISRAEL MENYERANG IRAN?
Israel bukan ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) tetapi Israel mempunyai bom nuklear. Iran adalah ahli NPT dan semua aktiviti nuklear kami di bawah pengawasan PBB. Negara bukan ahli NPT menyerang negara ahli NPT dan ini tanggungjawab Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), PBB dan organisasi lain untuk mempertahankan ahli mereka. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Mereka tidak mengutuk Israel atau menyerang tapak nuklear negara lain.
Malangnya AS menyerang Iran, terutamanya tiga tapak nuklear Iran. Ini menyedihkan apabila negara (AS) anggota Majlis Keselamatan PBB yang bertanggungjawab untuk keamanan dan keselamatan menyerang Iran yang berada di bawah pemerhatian PBB dan keluarga antarabangsa.
Sesiapa yang menyerang Iran, kami akan bertindak balas, kami tidak kira siapa dia dan inilah sebab kami menyerang pangkalan tentera mereka (AS) di Qatar tetapi kami memberi jaminan kepada mereka (Qatar), kami hanya menyerang pangkalan, bukan tempat lain.
Selepas itu, mereka mencadangkan gencatan senjata dan tidak menyerang. Tetapi saya ingin menekankan bahawa tindakan Iran adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa. Iran adalah salah satu pengasas PBB.
Jika ada mana-mana pihak menyerang kami, kami mempertahankan diri dan saya rasa semua orang boleh faham. Alhamdulillah, sekarang ini gencatan senjata dan jika mereka mula menyerang Iran, pasti kami akan bertindak balas.
Jika lihat sejarah Iran, Iran mempunyai tamadun yang berusia lebih daripada 7,000 tahun dan Iran cintakan keamanan dan mereka tidak menyerang mana-mana negara.
Tetapi jika sesetengah negara menyerang Iran, kami mempertahankannya. Ini yang boleh dilihat semasa Saddam Hussein menyerang Iran (pada 1980) dan kami mempertahankan negara kami selama lapan tahun.
LEBIH TERUK DARI PERANG IRAN-IRAQ?
Ini berbeza, masa itu Iran baru revolusi, Saddam menyerang Iran. Iran masa itu, selepas revolusi Islam, revolusi itu mengubah segala-galanya. Tiada tentera yang teratur atau apa jua pasukan keselamatan. Iran sibuk membina institusi baharu, kementerian baharu dan pasukan keselamatan dan ketenteraan.
Saddam menyerang dan Iraq datang menjajah tanah Iran. Saddam masa itu berkata, “Insya-Allah minggu depan, kita berada di Tehran untuk menjatuhkan kerajaan baharu Iran.
Tetapi rakyat Iran mempertahankan tanah mereka dan lapan tahun kami mempertahankan dan selepas itu mereka tidak boleh berbuat apa-apa dan berhenti. Kami kemudian berbincang tentang keamanan antara kedua-dua negara pada masa itu.
Percayalah, kami tidak mempunyai apa-apa dan tiada negara di dunia yang menyokong Iran pada masa itu. Tidak ada negara yang mahu beri kami sedikit peralatan ketenteraan yang kami perlukan, tiada siapa yang memberi kepada kami. Kerana ini, kami cuba buat sendiri, dihasilkan oleh kami sendiri, di tanah air sendiri. Inilah sebabnya sekarang, industri pertahanan Iran adalah hasil ilmu pengetahuan Iran dan buatan Iran kerana kami melakukan segala-galanya sendiri. Sekarang kami mempunyai peralatan, segala-galanya untuk mempertahankan negara kami.
NUKLEAR PUNCA ISRAEL SERANG IRAN?
Ramai pihak yang percaya, Israel menyerang Iran kerana mereka bimbang jika Iran dan AS capai kata sepakat, mereka tidak ada peluang untuk (menyerang), atas sebab ini mereka mahu memutuskan perjanjian ini.
Kami bersedia untuk berunding dengan mana-mana negara untuk menunjukkan bahawa aktiviti (nuklear) kami tidak menggugat keamanan. Ini adalah hak kami untuk memperkaya (nuklear), bukan untuk tujuan ketenteraan, tetapi untuk tujuan keamanan, perubatan, pertanian, tenaga dan teknologi.
Semua negara di dunia memerlukan teknologi ini dan ini adalah hak kami untuk memilikinya dan kami bersedia untuk berunding tetapi atas dasar saling menghormati terhadap hak antara satu sama lain.
REAKSI RAKYAT IRAN?
Israel dan beberapa pihak lain, mereka bersatu menentang Iran dan mereka fikir apabila mereka menyerang Iran, kumpulan pembangkang akan melawan kerajaan. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak tahu orang Iran. Apabila seseorang menyerang tanah Iran, semua orang Iran bersatu padu dan buat pertama kalinya semua orang Iran di seluruh dunia, pro kerajaan atau pembangkang, mereka turun ke jalanan dan ini termasuk di semua bandar Eropah yang lain. Dan ketika mereka tampil mempertahankan Iran, mereka berkata ini adalah tanah kami, kami tidak fikir tentang kerajaan atau rejim itu atau ini.
Jadi, mereka fikir apabila mereka menyerang, akan ada yang menyokong, tetapi ia berubah dan sebaliknya rakyat menentang mereka (Israel) dan mereka (Iran) bersatu, mereka (Israel) menyatukan kami. Mereka mahu merosakkan kami, tetapi ia menyatukan Iran. Kini, di seluruh dunia anda boleh melihat semua orang Iran datang menyokong Iran. Kami alhamdulillah bersatu. Sekarang kami mempunyai Iran yang bersatu padu. – UTUSAN










