Kisah keluarga dan badai kehidupan dalam drama Seikat Kasih - Utusan Malaysia

Kisah keluarga dan badai kehidupan dalam drama Seikat Kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi tempatan, Thousands of Years Media (ToYm) buat pertama kali menerbitkan drama pendek, Seikat Kasih yang ditayangkan baru-baru ini.

Pengasas SunStrong Entertainment dan ToYm, Datuk Wira Jment Lim berkata, penerbitan drama yang mempunyai nilai kekeluargaan itu merupakan langkah penting untuk memperkukuh perkembangan ekosistem drama mikro di Malaysia.

“Seikat Kasih  berkisarkan sebuah keluarga yang berdepan pelbagai konflik kehidupan melalui perjalanan watak Arina Dahlia lakonan Arena Wan dan Harris Hakim (Idzham Ismail).

“Episod hari raya dalam drama ini memaparkan penyatuan semula sebuah keluarga selepas melalui pelbagai cabaran kehidupan, selain menekankan bahawa kebahagiaan sebenar terletak pada kekuatan hubungan kekeluargaan,” katanya semasa tayangan perdana drama itu baru-baru ini.

Drama 59 episod itu akan ditayangkan setiap hari bagi membolehkan penonton mengikuti perkembangan jalan ceritanya secara berterusan.

“ToYm akan lancarkan dua episod pada pukul 12 tengah hari dan 1 petang setiap hari di semua platform media sosial kami supaya penonton tidak ketinggalan mengikuti episod seterusnya,” kata Jment.

Mensasarkan 300 juta penonton, Jment berkata, pembangunan kandungan drama mikro syarikatnya didorong keinginan untuk menghasilkan karya berkualiti dan memberi impak positif kepada penonton.

“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan naskhah yang memberi mesej positif kepada penonton.

“Kami bukan hanya mahu menjual produk, tetapi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan kandungan yang boleh mencapai lebih daripada 100 juta penonton,” katanya.

ToYm memperkenalkan pendekatan pemasaran baharu melalui konsep ToYm Iklan Drama Mikro yang membolehkan jenama dipromosikan dalam penceritaan drama.

Menurut Jment, pendekatan itu mampu memberi nilai tambah kepada perniagaan berbanding kaedah pengiklanan tradisional yang melibatkan kos tinggi dan tempoh kempen yang terhad.

“Kami meneroka konsep ini sekitar April tahun lalu, ketika itu kami mempunyai kira-kira 11 juta penonton.

“Kemudian, kami melihat peningkatan yang sangat ketara sehingga mencecah kira-kira 200 juta dalam jualan.

“Melihat kepada peluang itu, ToYm mahu membuka peluang ini kepada pemilik perniagaan untuk mempromosikan produk mereka menerusi kaedah baharu yang mampu memberikan kesan pemasaran berpanjangan merentasi pelbagai platform digital,” ujarnya.

Perunding imej produksi ToYm, Nini Wong memaklumkan imej setiap watak dalam Seikat Kasih menonjolkan sisi masyarakat Melayu yang tulus dan berjiwa mulia.

Menurutnya, pasukan produksi turut melakukan tinjauan di beberapa lokasi di Melaka bagi mencari busana yang sesuai dengan latar watak dalam cerita.

“Kami pergi ke beberapa kedai lama yang tersembunyi di lorong kecil di Melaka untuk mendapatkan pakaian yang sesuai dengan karakter dalam drama ini.

“Kami berharap melalui drama mikro ini, penonton tidak lupa dan sentiasa mengingati budaya serta asal-usul masyarakat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah drama berkenaan, Chang Dao pula berkata, kebebasan penyampaian cerita menerusi platform dalam talian bukan alasan untuk mengabaikan sensitiviti budaya.

“Saya merombak beberapa dialog dan situasi supaya emosi cerita masih sampai kepada penonton, tetapi cara penyampaiannya lebih semula jadi dan mudah diterima,” katanya.

Terdahulu, drama mikro pertama terbitan ToYm iaitu In Character mencatat lebih 33 juta tontonan di Malaysia dan melebihi 168 juta tontonan direkodkan di platform Douyin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN