KUALA LUMPUR: Inisiatif penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja kini semakin mendapat perhatian dalam landskap pengurusan sumber manusia di negara ini apabila ia dilihat bukan lagi sekadar manfaat tambahan kepada pekerja, sebaliknya sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan tenaga kerja yang mampan.
Perkembangan itu selari dengan perubahan struktur pasaran buruh serta peningkatan bilangan isi rumah berpendapatan dua sumber yang menuntut sistem sokongan lebih tersusun bagi membantu ibu bapa bekerja menyeimbangkan kerjaya dan keluarga.
Dalam konteks tersebut, Melody Kindyland, antara rangkaian tadika bukan francais terbesar di Malaysia, dilantik untuk membangunkan serta mengendalikan Kinderhub, pusat jagaan kanak-kanak bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Majlis perasmian Kinderhub disempurnakan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melody Kindyland, Samuel Swea.
Menurut Samuel Swea, akses kepada pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti mampu memberi kesan langsung terhadap penyertaan tenaga kerja serta tahap komitmen pekerja dalam organisasi.
Katanya, apabila pusat jagaan kanak-kanak beroperasi dalam persekitaran korporat, ia perlu mematuhi piawaian tadbir urus serta tahap ketelusan operasi yang tinggi.
“Pengalaman kami di peringkat nasional membolehkan kami memperkukuh dan menyesuaikan sistem pengurusan agar selari dengan keperluan serta jangkaan organisasi berskala besar,” katanya.
Sebelum ini, pelaksanaan pusat jagaan kanak-kanak korporat di Malaysia agak terhad berikutan kos tinggi serta keperluan pentadbiran yang kompleks.
Bagaimanapun, persaingan mendapatkan bakat mahir khususnya dalam sektor digital dan profesional kini mendorong majikan menilai semula bentuk sokongan yang mampu meningkatkan pengekalan pekerja serta mengukuhkan kedudukan sebagai majikan pilihan.
Bagi ibu bapa yang bekerja, kemudahan jagaan anak yang selamat dan dipercayai sering menjadi faktor penting dalam memastikan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
Justeru, penyediaan pusat jagaan kanak-kanak oleh majikan semakin dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan organisasi.
Bagi institusi seperti MCMC, penubuhan pusat jagaan dalaman merupakan langkah praktikal bagi memenuhi keperluan kakitangan.
Kerjasama dengan pengendali berpengalaman seperti Melody Kindyland turut memastikan aspek pematuhan peraturan, keselamatan serta kualiti pendidikan kanak-kanak diurus secara profesional dan sistematik.
Berbeza dengan prasekolah di kawasan perumahan, pusat jagaan yang beroperasi dalam kawasan institusi perlu disepadukan dengan sistem keselamatan pejabat, garis panduan tadbir urus serta struktur pelaporan dalaman yang lebih ketat.

Dalam hal ini, peranan Melody Kindyland merangkumi perancangan pusat penjagaan, penyelarasan pematuhan piawaian dan peraturan, pengambilan tenaga pengajar serta pemantauan operasi harian.
Menurut Swea, operasi dalam persekitaran korporat lazimnya memerlukan dokumentasi yang menyeluruh serta sistem kawalan dalaman yang lebih kukuh bagi memastikan tadbir urus yang cekap dan telus.
“Organisasi besar sememangnya memerlukan ketelusan dari segi kos serta akauntabiliti. Justeru, kami sentiasa memperkemas dan menambah baik proses dalaman bagi memenuhi jangkaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Fahmi Fadzil berharap lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat swasta tampil menyokong peluasan inisiatif pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Melody Kindyland yakin model tersebut berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain memandangkan rangkaian pusatnya yang sedia ada di seluruh negara.
Menurut Swea, fokus utama syarikat itu kekal kepada pembangunan awal kanak-kanak, manakala perubahan hanya melibatkan konteks pelaksanaan selari dengan keperluan tenaga kerja masa kini.
“Penjagaan kanak-kanak korporat merupakan langkah yang seiring dengan perubahan struktur tenaga kerja,” katanya.
Dari sudut perniagaan, pusat jagaan kanak-kanak yang disediakan majikan secara tersusun sering dikaitkan dengan kadar pengekalan pekerja yang lebih baik serta peningkatan kadar kembali bekerja selepas cuti bersalin atau cuti ibu bapa.
Walaupun segmen ini masih berkembang di Malaysia, semakin banyak organisasi kini melihatnya sebagai pelaburan strategik bagi kelestarian tenaga kerja dalam jangka panjang.
Perkembangan ini juga mencerminkan keperluan pasaran yang semakin menitikberatkan aspek pematuhan, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan pusat penjagaan kanak-kanak.
Seiring aspirasi Malaysia ke arah ekonomi digital berkemahiran tinggi, mekanisme sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja dilihat sebagai elemen penting dalam membina tenaga kerja yang lebih stabil dan berdaya tahan.










