TIDAK banyak pusat pendidikan Islam berpusat di negara ini yang menyediakan persekitaran pendidikan Islam yang menyeluruh dan pada masa sama, membantu melahiran lepasan dan graduan yang seiring keperluan semasa sepert adanya Kiblah.

Kumpulan Pendidikan Kiblah, di bawah kendalian Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin) yang beroperasi di Jenderam Hulu, Sepang boleh digelar sebagai pusat pembelajaran sehenti bagi pendidikan berteraskan Islam.

Pengerusi Yakin, Tan Sri Dr. Hashim Meon berkata, Kumpulan Pendidikan Kiblah sentiasa bertekad memacu perkembangan dunia pendidikan dengan menerapkan pemahaman al-Quran dan as-Sunnah dalam setiap aspek pembelajaran serta kehidupan seharian.
“Buktinya, kami berkembang daripada sebuah sekolah (Sekolah Kiblah) pada 1992 sebelum menubuhkan Maahad Tahfiz Kiblah pada 1997 dan Kolej Profesional Kemahiran Kiblah pada tahun 2020.
“Ketiga-tiga entiti ini kini mampu menampung kira-kira 500 pelajar setiap tahun dan diharapkan jumlah tersebut dapat ditingkatkan kepada 800 pelajar setahun pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, sepanjang 34 tahun penubuhannya, lebih 3,000 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Selain itu, Hashim berkata, seramai 186 orang telah bergelar tahfiz bagi tempoh 2024 hingga 2025 termasuk 73 pelatih telah memperolehi Sijil Kemahiran MARA Tahap 3 (Pengajaran Tahfiz) menerusi Kolej Profesional Kemahiran Kiblah.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, beliau percaya graduan dan lepasan yang dilahirkan di Kiblah tidak hanya sesuai menjadi guru agama, imam dan pendakwah semata-mata.
Menurutnya, ketika ini, Malaysia memerlukan lebih ramai golongan profesional yang turut memiliki latar belakang tahfiz al-Quran.
“Bidang seperti perubatan, kejuruteraan, seni bina dan profesion lain tidak seharusnya terpisah daripada pendidikan al-Quran.
“Bayangkan kalau skop profesionalisme di Malaysia ini dipenuhi oleh golongan yang menghafaz al-Quran,” katanya.
Katanya, penguasaan al-Quran bukan penghalang untuk seseorang berjaya dalam bidang profesional sebaliknya nilai disiplin, integriti dan akhlak yang dibentuk melalui hafazan al-Quran mampu melahirkan profesional yang lebih beretika.

Salehuddin Saidin menyampaikan sijil tamat hafazan 30 juzuk kepada seorang pelajar dalam majlis penyampaian sijil tamat hafazan 30 juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz di Maahad Tahfiz Kiblah, Sepang baru-baru ini.
Sementara itu, graduan tahfiz, Izz Iman Mohd Syahrul Izat, 16, berkata, beliau memasang impian untuk menceburi bidang profesional pada masa depan.
“Nilai disiplin yang diterapkan sepanjang bergelar pelajar tahfiz di sini banyak mengajar saya erti susah payah dan pengorbanan.
Katanya, dia merancang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sebelum menceburi bidang profesional yang berasaskan kemahiran.
Selain itu, pasangan tahfiz adik beradik, Naurah Auni Faqihah, 16, dan kakaknya, Nazneen Raisah Fahirah Mohd Syazmin Zuwairy, 17, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan hafazan 30 juzuz al-Quran bersama-sama.
Naurah ketika ditemui berkata, walaupun berada di sekolah sama, dia dan kakaknya ditempatkan di kelas berlainan dan dipisahkan mengikut tahap hafazan masing-masing.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan tenaga pengajar kami dapat berada di pentas sama dan berjaya bergelar seorang hafizah.
“Selepas ini, saya akan fokus kepada Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pula dan memasang impian untuk bergelar seorang pensyarah,” katanya.
Sementara itu, Nazneen pula berkata, dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuz dalam tempoh tiga tahun dan mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
Dalam pada itu, seorang graduan Sijil Kemahiran MARA Tahap 3 (Pengajaran Tahfiz), Raess Haidar Nasarudin, 18, ketika ditemui berkata, dia bertuah kerana diberi peluang melanjutkan pelajaran di Kolej Profesional Kemahiran Kiblah.
“Selain bidang kemahiran lain, kolej ini turut menyediakan SKM Pengajaran Tahfiz yang memberi peluang kepada graduan tahfiz menyambung pengajian untuk bergelar guru tahfiz bertauliah,” katanya.-UTUSAN










