JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) sedang kembali kepada arah penyatuan susulan keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuka pintu kembali tanpa syarat kepada mana-mana pihak termasuk yang dikenakan tindakan sebelum ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kesediaan individu seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Khairy Jamaluddin untuk kembali merupakan isyarat jelas terhadap perkara tersebut.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan merupakan tokoh politik berpengalaman yang diterima masyarakat pelbagai lapisan selain telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dengan adanya pemimpin yang bersikap sederhana dan diterima masyarakat, ia memberi harapan bahawa BN sedang ke arah penyatuan. Ini jelas bahawa kita perlu bersolidariti, kerana jika kita bercerai kita akan roboh.
“Jadi selagi kita rapatkan saf di dalam parti masing-masing serta gabungan BN, ia akan menjadi kekuatan tambahan kepada BN yang dahulunya mentadbir negara dengan sangat baik.
“Perkembangan ini adalah tenaga positif yang kita perlukan untuk terus mengukuhkan kesatuan dan kedudukan BN pada masa depan,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA Johor Selatan di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di sini semalam.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, pihaknya yakin perkembangan tersebut akan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat pelbagai kaum untuk mengundi BN pada pilihan raya akan datang.
“Munasabah kita katakan bahawa BN sedang pulih setelah melalui pelbagai liku-liku sukar. Jadi saya yakin perkara ini merupakan perkembangan ke arah positif, selagi ia tidak songsang ia tidak akan melemahkan.
“Namun masih terlalu awal untuk kata sokongan masyarakat akan kembali sepenuhnya, tetapi selagi kita melakukan perkara ke arah penyatuan, takkan undi kita berpecah lagi,” katanya lanjut.
Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin antara beberapa individu yang telah menyatakan hasrat dan kesediaan mereka untuk menerima keterbukaan Ahmad Zahid untuk mana-mana pihak kembali aktif dalam UMNO menerusi konsep Rumah Bangsa. – UTUSAN










