Kepentingan Melayu, bumiputera jadi keutamaan walau berbeza politik - Utusan Malaysia

Kepentingan Melayu, bumiputera jadi keutamaan walau berbeza politik

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (empat dari kanan) menyantuni pasukan polis pada program Majlis Apresiasi Barisan Hadapan, Santuni Wira Madani dan Singgah Sahur bersama warga IPK Perak, di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kepentingan orang Melayu dan bumiputera sentiasa menjadi keutamaan walaupun wujud perbezaan pandangan politik dalam kalangan pemimpin.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu tetap dipertahankan oleh semua pemimpin Melayu.

Katanya, tidak pernah timbul perpecahan atau pertelingkahan dalam kalangan pemimpin dari mana-mana parti apabila membabitkan perkara berkaitan kepentingan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

“Tanyalah mana-mana pemimpin Melayu dalam mana-mana parti politik, bila bercakap tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kita junjung dan pertahankan.

“Begitu juga dengan kedudukan raja-raja Melayu serta hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang terus dipertahankan, malah bahasa Melayu kini terus diangkat dan dimartabatkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Majlis Apresiasi Barisan Hadapan, Santuni Wira Madani dan Singgah Sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya terdapat perbezaan, ia hanyalah dari segi pendekatan politik yang diambil oleh pemimpin dalam menguruskan sesuatu isu.

“Ada orang suka ambil jalur yang keras, tapi sebahagian yang lain pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini.

“Jadi harus ada kebijaksanaan dalam mengurus dan mengawal beberapa perkara terutamanya isu-isu sensitif khususnya agama, bangsa serta institusi diraja (3R).

“Kita mungkin berbeza pandangan dalam beberapa perkara, tapi itu tidak bermaksud bahawa kesatuan dan juga kekuatan orang Melayu dan juga bumiputera terhakis di negara kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Rumah Bangsa yang digerakkan UMNO, beliau juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, gagasan perpaduan yang dibincangkan oleh pemimpin politik hari ini bukan sesuatu yang baharu kerana konsep tersebut telah lebih awal disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum pembentukan kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, titah Seri Paduka Baginda menyarankan untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang merangkumi semua parti politik di negara ini.

“Saya berpendapat ini adalah lanjutan daripada usaha tersebut dan kita tiada sebarang halangan untuk berbincang atau musyawarah mengenai isu-isu dan juga hal tertentu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN