KOTA KINABALU: Kementerian Luar perlu membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa negara itu menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Azrul Ibrahim berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, Sabah kekal sebahagian Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Katanya, cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga hanya alasan untuk menghidupkan semula tuntutan lama tidak berasas, malah dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada krisis dalaman Filipina.
“Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain. Kami menggesa Kementerian Luar membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan tersebut, manakala Kerajaan Persekutuan perlu terus memantau perkembangan ini bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Rakyat Sabah juga diseru agar kekal tenang, bersatu dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, kenyataan Padilla bukan sahaja tidak berasaskan realiti semasa, malah mencerminkan pendekatan dangkal dalam menangani isu global seperti krisis tenaga.
Katanya, Sabah secara sah membentuk Malaysia yang berdaulat pada 1963 berlandaskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
“Cubaan menghidupkan semula tuntutan ini dilihat bermotifkan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Filipina.
“Realiti perundangan antarabangsa juga telah memuktamadkan kedudukan Malaysia,” katanya. – UTUSAN







