Serah wang khairat RM52,000 kepada keluarga Rambo Castello

YGMB serah wang khairat RM52,000 kepada keluarga Rambo Castello

Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah (dua dari kanan) Siti Norina (tiga dari kanan) dan Wan Munadi (kanan) menyerahkan sumbangan khairat kematian YGMB kepada Asiah pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di Kota Bharu semalam. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keluarga pempengaruh media sosial, Rambo Castello akan menggunakan sebahagian wang khairat kematian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berjumlah lebih RM52,000 untuk mengerjakan badal umrah dan haji Allahyarham.

Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli meninggal dunia akibat serangan jantung di Yogyakarta, Indonesia pada 17 Oktober lalu.

Anak bongsu Allahyarham, Norfadzliana, 23, berkata, bapanya berniat menunaikan umrah dan haji bersama ibunya, Asiah  Abdullah, 56, selepas dia bersara pada April ini.

“Arwah abah banyak kali bercakap bahawa dia akan menunaikan umrah selepas saya tamat konvokesyen. Jadi, kami sekeluarga mahu melunaskan hasrat arwah dengan mengerjakan badal umrah dan haji buatnya selepas menerima sumbangan khairat kematian YGMB,” katanya selepas ditemui pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Allahyarham Ahmad Radzli menyertai skim YGMB pada Ogos 2024 sekali gus melayakkan ahli keluarganya menerima khairat kematian berjumlah lebih RM52,000.

Norfadzliana berkata, wang khairat tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya termasuk beberapa keperluan lain.

Katanya, seluruh ahli keluarga bersyukur dengan sumbangan itu kerana ia dapat meringankan segala urusan lebih-lebih lagi ibunya merupakan seorang suri rumah.

“Kami sekeluarga tidak menyangka menyambut Ramadan pada tahun ini tanpa arwah di sisi. Allahyarham adalah imam tarawih di Surau Kampung Wakaf Zing, Jeli setiap kali Ramadan sejak hampir 20 tahun lalu.

“Selepas ketiadaannya, surau tersebut sudah tidak membuat solat sunat tarawih di situ. Suasana itu sangat janggal buat kami sekeluarga kerana arwah memang ada di surau itu sepanjang Ramadan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan khairat kematian yang disalurkan kepada keluarga Allahyaryam Ahmad Radzli sedikit-sebanyak dapat membantu persiapan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Menurut beliau, arwah juga merupakan Ahli Skim Emas YGMB dan keluarganya layak untuk menerima sumbangan khairat kematian tersebut.

Sebelum ini melaporkan, Rambo Castello meninggal dunia di Rumah Sakit Sardjito, Yogyakarta, Indonesia selepas mengalami serangan jantung dan jangkitan paru-paru kira-kira pukul 2.38 pagi waktu Indonesia pada 17 Oktober tahun lalu di sisi isterinya.

Rambo Castello merupakan pempengaruh media sosial terkenal dengan kandungan berbentuk nasihat mengenai kehidupan masyarakat luar bandar serta perkongsian tip bercucuk tanam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN