Kelebihan ritma puisi dalam Memoriku

Kelebihan ritma puisi dalam Memoriku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM penulisan puisi, unsur ritma puisi menjadikan puisi lebih menarik dibaca kerana susunan bahasanya berseni dan berirama. Di samping falsafah yang ingin disampaikan oleh penulis, ritma menjadikan gaya puisi yang dikuasai oleh penulis.

Unsur ritma merangkumi anafora, apifora, repitasi, asonansi dan aliterasi. Penulis yang berkemahiran menggunakan unsur ritma dalam puisi akan memiliki jati diri penulis yang tersendiri dalam jagat sastera.

Menurut Arbak Othman – “Puisi ialah sejenis wacana kreatif yang menggunakan seni pengucapan yang berfungsi untuk mewakili amalan budaya sesebuah masyarakat sesuatu bangsa. Puisi adalah wadah pengucapan intelektual dan pengalaman manusia secara indah dan halus”.

Kata Arbak Othman lagi, “penyair adalah pencipta puisi. Dia mempunyai kebolehan untuk menyampaikan makna dengan cara yang sedap didengar dan indah dari segi kepekaan. Keindahan ini menjadi semakin jelas apabila idea yang diungkapkan oleh penyair di permukaan puisinya mengandungi sentuhan rasa, emosi dan intelektual.

Puisi hanyalah tukangan, manakala seni adalah gaya penyampaian senibina pengucapan dengan menggunakan kata-kata”.

Sehubungan itu, buku kumpulan sajak Memoriku karya Datuk Rosdi Wah terbitan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun 2025, memiliki unsur ritma yang cukup berseni. Buku ini mengumpul 65 buah sajak yang menampilkan unsur seni dan falsafah yang mencabar pemikiran pembaca.

Dalam catatan Prakata, Rosdi menyatakan bahawa “saya mula menulis sajak secara aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas itu minat ini diteruskan.

Pada mulanya, saya menulis sajak ini secara suka-suka sahaja untuk mengasah bakat menulis sebagai persiapan menempuh alam persaraan pada 2023 kerana selepas saya bersara, saya fikir perlu menulis sebagai latihan kepada minda dan kreativiti.”

Berdasarkan catatan biodata pengarang, dapat disimpulkan bahawa minat menulis Rosdi adalah sejak melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah yang mana Rosdi memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian Major Sejarah daripada Universiti Malaya.

Sastera adalah karya seni yang melibatkan pelbagai genre termasuk sajak.

Demikian juga dengan pandangan Dr. Shamsudin Othman, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2019 (S.E.A Write Awarded) dalam Serumpun Kata buku ini yang menyatakan bahawa- “kumpulan sajak berjudul Memoriku menghimpunkan 65 buah sajak yang berkisar tentang pengalaman peribadi yang diperoleh daripada pemerhatian penyajak terhadap alam pekerjaan, pendidikan, sosio-ekonomi dan politik tanah air. Sejujurnya, penyajak berjaya memanfaatkan fitrah (bakat), mata hati dan ketulusan fikir ketika memindahkan pengalaman pahit getir lagi bermakna yang dirasai sepanjang hidupnya.”

Justeru, apabila ditatap 65 buah sajak dalam buku ini, hampir kesemua sajak memiliki unsur ritma yang menonjolkan anafora dan rima. Apatah lagi setiap sajak memiliki intonasi dengan bahasa yang indah susunannya.

Dipaparkan sebuah sajak bertajuk Memberi yang memiliki ciri anafora iaitu gaya bahasa pengulangan yang menumpukan kepada pengulangan kata atau frasa yang sama pada awal baris, ayat atau rangkap puisi secara berturutan. Malah sajak ini turut diakui Dr. Shamsudin bahawa sajak Memberi ini menyimpulkan semua hasrat yang tersembunyi di dalam hati Rosdi.

MEMBERI

Memberi kepada yang tiada
Memberi kepada yang memerlukan
Memberi kepada yang meminta
Memberi kepada yang dalam kesulitan

Memberi itu tanda bersyukur
Memberi itu tidak semestinya berada
Memberi itu tanda kita berasa cukup
Memberi itu lebih mulia
Memberi itu sifat orang bertakwa

Memberi itu satu ibadah
Memberi itu satu infak
Memberi itu satu sedekah
Memberi itu satu jariah
Memberi itu perlu ikhlas

Memberi tanpa menagih pujian
Memberi tanpa ujub dan riak
Memberi tanpa diketahui orang lain
Memberi tanpa mengharap balasan

Kelak menjadi satu penyesalan kepada insan
Kenapa memberi itu tidak dijadikan amalan
Kerana ia merupakan perniagaan yang sifar kerugian
Kerana ia merupakan satu bekalan hari kemudian

Setelah insan meninggalkan kehidupan
Jasad yang terbujur kaku itu jika diberi pilihan
Ingin hidup semula untuk bersedekah
Sedekah itu sinonimnya adalah memberi

 Seri Kembangan,
2 Februari 2021

Demikian juga dengan ciri rima. Rima ialah persamaan atau pengulangan bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir dalam rangkap puisi, pantun atau gurindam. Terlalu banyak sajak dalam Memoriku disusun bahasanya dengan ciri rima. Dipaparkan contoh sebuah sajak yang memiliki ciri rima.

BALADA PENUNGGU TUA

Kini aku acap terlupa
Antara perkara baharu dengan lama
Antara rupa dengan nama
Antara tulisan dengan angka
Antara nyanyian dengan kata-kata

Aku telah termasuk perangkap tua
Daripada aktif kini duduk sahaja
Dahulu bekerja kini bermalasan sentiasa
Kini rakan semuanya sebaya
Warga emas diberi nama

Aku perlu rajin berkarya
Menggerakkan badan dan minda
Terus ligat mencari idea
Sentiasa senyum dan ketawa
Merangsang kehidupan tua
Menangkis balada penunggu tua

 Mingguan Malaysia,
23 Jun 2024

Kesimpulannya, kelebihan buku Memoriku bukan sahaja kepada ritma puisi tetapi setiap sajak turut diadun dengan penceritaan ringkas berkaitan alam pekerjaan, pendidikan, sosioekonomi dan politik tanah air.
Justeru, buku ini wajar dimiliki dan dihayati oleh sesiapa pun, apatah lagi warga UPM yang akan memperoleh manfaat daripada pengalaman seorang insan bernama Rosdi Wah bekas kakitangan UPM. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×