PETALING JAYA: Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang melakukan penyelarasan dengan syarikat penerbangan bagi meningkatkan kekerapan penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur.
Ia sebagai usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk pulang ke tanah air.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut menasihatkan rakyat Malaysia yang terkandas supaya terus berhubung dengan pejabatnya bagi mendapatkan bantuan dan maklumat terkini.
Katanya, pihaknya juga sedang memantau situasi dengan teliti dan akan terus memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.
Gangguan perjalanan udara di beberapa Asia Barat menyebabkan beberapa penerbangan terjejas, sekali gus mengakibatkan penumpang terkandas di hab transit utama termasuk Dubai.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, terdapat kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di seluruh rantau yang terjejas.
Di UAE sahaja, terdapat kira-kira 8,500 rakyat Malaysia termasuk penduduk tetap serta mereka yang sedang transit atau terkandas, susulan gangguan penerbangan itu.
Beberapa negara menutup ruang udara masing-masing selepas serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, yang kemudian mendorong Teheran melancarkan tindak balas terhadap sekutu Washington.
Firma analisis data penerbangan, Cirium memaklumkan, sekurang-kurangnya 12,903 penerbangan dibatalkan antara Sabtu hingga Isnin yang menjejaskan lebih satu juta penumpang. – UTUSAN











