PETALING JAYA: Kedutaan Malaysia di Washington, D.C. membatalkan penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 20 Mac 2026.
Kedutaan Malaysia memaklumkan, pembatalan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan perbelanjaan awam secara lebih berhemat dan sederhana.
“Selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk melaksanakan perbelanjaan awam secara lebih berhemat dan sederhana, Kedutaan Malaysia tidak dapat meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang pada asalnya dijadual pada 20 Mac 2026.
“Kami amat menghargai kefahaman, kesabaran dan sokongan berterusan anda,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, kedutaan kekal komited untuk berkhidmat kepada diaspora Malaysia serta memperkukuh hubungan sebagai satu keluarga Malaysia di luar negara.
“Kedutaan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri lebih awal kepada semua rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing dengan harapan ia disambut dengan penuh keberkatan dan makna,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengarahkan semua agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memberi mesej berbelanja dengan cermat susulan kesan ekonomi daripada konflik peperangan antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran. – UTUSAN










