TUMPAT: Seorang peniaga dari Kampung Geting di sini, tidak menyangka menu makanan barat iaitu pasta yang dijual secara cedok, membuatkannya tidak menang tangan dan ‘licin’ dalam tempoh sejam.
Wan Zuraida Wan Johan, 41, berkata, dia menggunakan pendekatan mencedok makanan itu ke dalam bekas sebelum dijual kepada pelanggan.
Katanya, empat jenis pasta ditawarkan kepada pelanggan iaitu aglio olio sosej dan sup cendawan carbonara ayam, bolognese daging dan creamy tomyam seafood.
“Konsepnya mudah, pasta dicedok dan diisi hingga penuh ke dalam bekas sebelum dijual kepada pelanggan. Sebab itu saya panggil pasta cedok kerana setiap hidangan memang dicedok sampai penuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Wan Zuraida berkata, hidangan itu dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 dan disediakan setiap hari sepanjang Ramadan di gerainya.
Selain pasta, katanya, pelanggan boleh menikmati beberapa menu sampingan seperti bebola daging dan sup cendawan bersama roti halia.
Menurutnya, perniagaan makanan barat bukan sesuatu yang baharu buat dirinya kerana sebelum ini dia memiliki sebuah kedai makanan barat di Pulau Pinang.
“Saya pulang ke Kelantan pada Ramadan kali ini untuk menjaga ibu yang kurang sihat. Kebetulan kedai di Pulau Pinang ditutup sepanjang bulan puasa, jadi saya cuba ketengahkan menu ini di kampung. Alhamdulillah sambutannya sangat baik dan sudah ada pelanggan tetap,” katanya. – UTUSAN










