JPJ Terengganu laksana 96 rondaan sehari sepanjang operasi Aidilfitri

JPJ Terengganu laksana 96 rondaan sehari sepanjang operasi Aidilfitri

MOHD. Zamri Samion (kanan) melihat motosikal yang disita dalam operasi khas di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melaksanakan sebanyak 96 rondaan sehari selama 16 jam sepanjang pelaksanaan Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula esok hingga 29 Mac ini di seluruh negeri.

Pengarahnya, Mohd. Zamri Samion berkata, semasa tempoh puncak operasi, rondaan dan penguatkuasaan dilaksanakan sepanjang 24 jam sehari yang dibahagikan kepada dua fasa.

Katanya, fasa pertama bermula dari 19 hingga 20 Mac ini manakala fasa kedua dari 28 hingga 29 Mac ini bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna sentiasa berada pada tahap tinggi.

“Op HRA dimulakan dengan Pra Op HRA yang melibatkan pemeriksaan bas ekspres di depoh dari 13 hingga 15 Mac bagi memastikan kenderaan perkhidmatan awam mematuhi semua peraturan keselamatan serta keperluan teknikal yang ditetapkan.

“Kita mahu memastikan semua bas berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan membawa penumpang pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri,” katanya sempena pelaksanaan Op HRA 2026 di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang sebanyak 44 operasi penyamaran melibatkan bas ekspres bagi perjalanan pergi dan balik untuk memantau tahap pematuhan pemandu terhadap peraturan keselamatan ketika membawa penumpang.

Katanya, penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan juga dipertingkat bagi memastikan pemandu mematuhi Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan sepanjang tempoh perayaan.

“Selain itu, JPJ melaksanakan operasi khas teknikal di terminal bas dan operasi khas motosikal memandangkan kenderaan itu dikenal pasti menyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi ketika Op Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN