KOTA BHARU: ‘Mahu cepat’ dan tidak sabar di atas jalan raya memakan diri apabila seramai 2,384 pemandu dikenakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pemantauan dron sepanjang Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesalahan paling ketara dikesan adalah memotong di garisan berkembar dengan 715 kes diikuti tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong barisan atau memotong dari sebelah kiri (539 kes) serta menggunakan lorong kecemasan (503 kes).
Katanya, tiga kawasan mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi ialah Lembah Klang, Kelantan dan Selangor, selari dengan peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan.
“JPJ mengeluarkan notis temu siasat kepada pemandu terlibat dengan kompaun RM150 yang perlu dijelaskan dalam tempoh 15 hari sebelum meningkat kepada RM300. Penggunaan dron bukan bertujuan mencari kesalahan semata-mata, sebaliknya bagi merakam dan mengesan pelanggaran undang-undang yang berpotensi menyebabkan kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar Op Khas Motosikal sempena HRA 2026 di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Timur di sini, malam tadi.
Beliau berkata, penguatkuasaan dipertingkat secara menyeluruh dengan tumpuan di lokasi ‘hotspot’ kemalangan dan kesalahan trafik di seluruh negara.
Katanya, hasil analisis pangkalan data JPJ mengenal pasti sebanyak 288 lokasi berisiko tinggi melibatkan laluan utama, lebuh raya serta jalan persekutuan.
“Kelantan mencatatkan jumlah lokasi ‘hotspot’ tertinggi iaitu 53 lokasi, diikuti Sarawak (50) dan Perak (34). Penggunaan dron diteruskan bukan sahaja pada musim perayaan, malah dalam semua operasi penguatkuasaan JPJ,” katanya. – UTUSAN










