JPJ keluar 33,402 notis kesalahan pengguna jalan raya - Utusan Malaysia

JPJ keluar 33,402 notis kesalahan pengguna jalan raya

AEDY Fadly Ramli (empat dari kanan) mendengar penerangan daripada pasukan bomba di Pusat Kawalan Menora, Ipoh sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 33,402 notis atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026 dilaksanakan bermula 16 Mac lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, data yang direkodkan sehingga semalam itu diperoleh hasil pemeriksaan ke atas 172,479 kenderaan di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 14,455 kenderaan diambil tindakan dengan 1,651 slip pemeriksaan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan di seluruh negara itu merangkumi kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam dan bas.

“Daripada 14,455 kenderaan diambil tindakan, sebanyak 289 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan termasuk 43 kenderaan barangan yang tidak mematuhi larangan pemanduan kenderaan barangan (roadban) yang telah berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjalankan Pemantauan Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Menurut beliau, pelaksanaan operasi kali ini turut memberi tumpuan kepada kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Katanya, berdasarkan statistik semasa, tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar dengan 761 kes, diikuti membawa lebih muatan sebanyak 353 kes dan 317 kes bagi kesalahan tidak mematuhi isyarat lalu lintas (lampu merah).

“Tidak memakai tali pinggang keledar merupakan antara kesalahan utama, bukan sahaja ketika musim perayaan, malah pada waktu lain sepanjang penguatkuasaan dijalankan.

“Justeru, ia menjadi fokus JPJ dalam memberi advokasi dan nasihat kepada orang ramai selain melaksanakan kempen kesedaran pemakaian tali pinggang keledar, termasuk mewajibkannya kepada penumpang bas,” katanya.

Tegas beliau, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap undang-undang.

*Orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta mengamalkan pemanduan berhemah sepanjang masa termasuk musim perayaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN