PUTRAJAYA: Kerajaan mengingatkan rakyat supaya tidak cemas dan mudah terpengaruh dengan spekulasi kononnya harga minyak dunia boleh mencecah AS$200 setong.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat spekulasi berhubung bekalan minyak susulan konflik di Asia Barat kerana perkara itu hanya memberi keuntungan kepada spekulator.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan minyak dalam negara kekal mencukupi dan stabil.
“Kerajaan kini memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam kawalan termasuk memastikan bekalan bahan api dalam negara mencukupi bagi tempoh terdekat.
“Yang pentingnya kita jangan membuat spekulasi kerana spekulasi ini perkara yang berbahaya dan biasanya hanya menguntungkan spekulator,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, bekalan minyak dalam negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, namun usaha mendapatkan sumber bekalan baharu akan terus dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara dalam tempoh lebih panjang.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga bersedia melakukan intervensi termasuk menanggung peningkatan bil subsidi bahan api buat masa ini bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan.
Menurut beliau, kerajaan mampu bertahan dalam tempoh jangka pendek sekiranya harga minyak dunia terus meningkat, namun pendekatan lain mungkin perlu dipertimbangkan sekiranya situasi tersebut berlarutan.
“Buat masa ini kita bergerak dengan pendekatan jangka pendek, sambil membuat persediaan bagi jangka sederhana dan panjang supaya kestabilan bekalan dapat dikekalkan,” katanya.
Tambah beliau, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global, Malaysia juga berpeluang memanfaatkan kedudukan sebagai negara yang stabil untuk terus mengukuhkan ekonomi.
Katanya, ekonomi domestik yang kukuh mampu memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara lain yang turut terkesan dengan ketidaktentuan global.
“Usaha kita bukan sahaja menangani isu minyak, tetapi melihat peluang yang ada untuk terus meningkatkan kestabilan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










