Jangan hanya solat dalam bulan Ramadan
SOALAN
Kita sering melihat pemandangan biasa sepanjang Ramadan ramai yang bersolat tetapi ramai pula meninggalkan solat di luar bulan Ramadan. Tidakkah ini bermakna mempersendakan agama?
Jawahir
Pendang, Kedah
JAWAPAN
Ini bukanlah bermakna mempersendakan agama. Namun merupakan tanda kejahilan terhadap hakikat agama dan ilmu fikh aulawiyat. Perlu mereka mengetahui bahawa solat adalah tiang agama yang wajib dilakukan pada setiap hari bukan hanya di bulan Ramadan.
Lailatul Qadar selalunya malam ganjil
SOALAN
Saya keliru 10 malam terakhir Ramadan dikatakan akan berlaku Laillatul Qadar. Adakah malam ganjil genap atau malam terakhir?
Fahmi Asraf
Binjai
JAWAPAN
Malam Lailatul Qadar adalah rahsia yang Allah SWT kurniakan kepada hamba hamba-Nya. Namun ia selalunya berlaku pada malam ganjil. Maka lakukanlah ibadat bersungguh-sungguh pada setiap malam agar dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.
Elak hubungan badan menjelang Subuh
SOALAN
Adakah pasangan suami isteri yang mahu melakukan hubungan badan perlu elak berbuat demikian menjelang sahur supaya tidak terlajak pada waktu solat Subuh?
Fauzie Aiman
Insan keliru
JAWAPAN
Hubungan suami isteri boleh dilakukan pada waktu sahur selagi tidak masuk waktu Subuh. Namun elakkanlah pada waktu berdekatan dengan waktu Subuh agar tidak terjebak perlakuan pada waktu Subuh.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]










