KUALA LUPUR: Pelakon, Jaa Suzuran mengakui dia berhati-hati mengenal hati budi seseorang selepas pengalaman buruk yang dilaluinya satu masa dulu.
Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad, 32, berkata dia bukan bersikap cerewet dalam mencari pasangan, sebaliknya takut mencuba kerana trauma.
“Kadang-kadang, bila kita jumpa orang yang kita suka, kita takut nak luahkan kepada individu itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Tiket Sehala yang berlangsung di Majestic Marine, Confetti, Kuala Lumpur semalam.
Jaa mengakui sebelum ini pernah ingin mendekati seorang wanita, namun terkejut apabila hasrat itu ditertawakan di media sosial.
“Saya hantar mesej, kata hi dan beri salam, saya ikhlas berkenalan. Tapi dia tangkap layar mesej itu dan muat naik di Instastory.
“Kalau tak mahu layan, tak payah balas. Tak perlulah tangkap layar kemudian jadikan bahan media sosial,” kongsinya.
Jaa dalam pada itu menganggap adiknya Raa Suzuran sekadar bergurau apabila mencari calon kakak ipar menerusi platform Thread.
“Saya sebenarnya tak buka pun ruang komen Thread itu. Saya baca dan gelak, kemudian buat tak tahu. Saya tak nak baca komen yang mempersendakan saya.
“Kebanyakkan mereka hanya bergurau. Tak logik ada perempuan nak tawarkan diri macam itu. Ego mereka kebiasaannya tinggi,” ujarnya.










