Isu keterangan saksi perebutan harta RM1.6 Bilion diputuskan esok

Isu keterangan saksi perebutan harta RM1.6 Bilion diputuskan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Esok merupakan penentuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada beberapa keterangan peguam dalam pernyataan saksi kes perebutan harta pusaka bernilai lebih RM1.6 bilion milik anak ketiga pengasas Kumpulan Genting, mendiang Lim Siew Kim, boleh dipadamkan atau sebaliknya.

Hakim Mahazan Mat Taib menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam, Datuk Seri V Sithambaram yang mewakili dua anak perempuan Siew Kim iaitu Chan T’shiao Li, 48, dan Kimberley Chan Tshiao Miin, 45, selaku plaintif.

Sebelum ini, dua plaintif tersebut memfailkan saman sivil terhadap dua peguam yang juga pelaksana dan pemegang amanah, Malcolm Fernandes serta Chan Mei Yee; adik lelaki plaintif, Marcus Chan Jau Chwen, 42, dan peguam, Low Beng Choo masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut berhujah ialah peguam, Rishwant Singh yang hadir bagi pihak Malcolm; peguam, Ong Kheng Leong (Mei Yee); peguam, Datuk K Kirubakaran (Marcus) dan peguam, S Sivaneindran (Beng Choo).

Dalam hujahannya, Rishwant berkata, permohonan yang dibangkitkan oleh peguam plaintif merupakan pramatang.

Katanya, Beng Choo telah memberikan keterangan yang komprehensif mengenai penyediaan wasiat mengikut arahan Siew Kim.

“Ini merupakan bukti langsung dan harus diakui oleh mahkamah ini,” katanya.

Sementara itu, Sivaneindran berkata, anak guamnya datang ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai arahan yang diterimanya daripada si mati malah keterangan itu tidak bersifat khabar angin.

Bagaimanapun, Sithambaram berkata, hujahan bahawa si mati memberitahu defendan keempat dalam surat wasiat tersebut, hanyalah khabar angin dan tidak logik.

Terdahulu, Siew Kim, 73, meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 dan meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Keseluruhan kes tertumpu kepada kesahihan wasiat ibu plaintiff yang dikatakan tidak mempunyai keupayaan undang-undang dan mental yang diperlukan untuk membuat wasiat yang sah sebelum kematiannya akibat kanser ovari tahap empat.

Selain itu, mereka juga mendakwa menemui kewujudan dua lagi wasiat ditinggalkan ibu mereka pada 2023 sebelum kewujudan wasiat yang disediakan Beng Choo pada April 2022.

Dua wasiat lain itu bertarikh 2 November 2021 dan 11 April 2022, manakala wasiat ketiga ditandatangani pada 28 April 2022.

Mereka turut mendakwa pelaksanaan wasiat ketiga berlangsung dalam tempoh masa singkat sehingga menimbulkan keadaan mencurigakan berkaitan penyediaan dan pembuatan wasiat terakhir itu.

Dalam dokumen tuntutan, anak-anak perempuan Siew Kim itu mendakwa tidak tahu sebab ibu mereka dipaksa menandatangani wasiat terakhir secara tergesa-gesa.

Mereka yang juga cucu perempuan mendiang taikun Genting, Tan Sri Lim Goh Tong mendakwa Siew Kim, ketika itu tidak berada dalam keadaan mengizinkan kerana kemerosotan tahap keupayaan fizikal serta mentalnya.

Perkara berkenaan hanya mengetahui Beng Choo mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati melalui Dikim Foundation (Yayasan Dikim) yang ditubuhkan oleh Siew Kim dan mendiang suaminya, Dick Chan Teik Huat.

Yayasan Dikim merupakan benefisiari utama wasiat berkenaan dengan menerima lebih 70 peratus baki harta pusaka dan anak-anak perempuan mendiang yang terbabit dalam saman itu mendakwa tujuan sebenar yayasan itu masih tidak jelas dan samar.

T’shiao Li dan T’shiao Miin mendakwa berlaku penipuan dalam pelaksanaan wasiat ibu mereka dan memohon agar ia diisytiharkan tidak sah, selain menuntut mereka bersama dua lagi adik-beradik diisytiharkan sebagai benefisiari yang sah.

Yayasan Dikim turut menerima hartanah di Pearl Hill, Tanjung Bungah, Pulau Pinang serta pegangan saham dan hartanah dalam Suria Waras Development Sdn Bhd.

Marcus turut menerima hartanah di Jalan Ampang, pegangan saham dalam Mantap Awana Sdn Bhd, kandungan semua peti simpanan keselamatan serta 30 peratus baki harta pusaka.

Sebaliknya, T’shiao Li hanya menerima RM900,000 sementara T’shiao Miin sebanyak RM100,000.

Seorang lagi anak perempuan mereka, T’shiao Yunn menerima RM10 juta serta hartanah di Ampang Hilir, Kuala Lumpur, sementara anaknya, Jasmine menerima RM50,000 sebulan.

Dalam dokumen pembelaannya, Beng Choo menafikan dakwaan plaintif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN