PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini mengumumkan inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) berjumlah RM3 bilion sebagai usaha memperkasa ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik wanita di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif DEWI diumumkan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Menurutnya, sebanyak empat agensi di bawah KUSKOP akan menjadi agensi pelaksana kepada inisiatif itu termasuklah Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
“Inisiatif ini menawarkan pembiayaan sehingga RM3 juta dengan menyasarkan 300,000 usahawan wanita di seluruh negara.
“Inisiatif DEWI adalah manifestasi tekad KUSKOP dalam membantu membangunkan usahawan wanita di negara ini dalam melahirkan lebih ramai ‘iron lady’ dalam dunia perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Steven berkata, beliau mahu usahawan wanita di negara ini menerima manfaat dari segi pembiayaan, latihan termasuk kemudahan yang disediakan oleh kerajaan khususnya melalui KUSKOP.
Jelasnya, kementerian juga akan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menawarkan inisiatif DEWI. – UTUSAN










