KIRA-KIRA 200 pelatih Akademi Bola Sepak The Hulu dan ahli keluarga mereka berhimpun bagi memeriahkan Majlis Iftar Perdana di Padang Astaka Kuala Berang, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Program berbuka puasa yang sederhana namun penuh makna itu antara lain bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim dalam kalangan pengurusan akademi, para pelatih dan penjaga masing-masing.
Beralaskan tikar yang dibentangkan di atas padang, mereka bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana santai dan penuh kemesraaan.
Majlis dimulakan dengan tahlil diikuti dengan penyampaian sumbangan Bakul Makanan daripada Akademi The Hulu kepada anak-anak pelatih yang memerlukannya sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mereka.
Akademi Bola Sepak The Hulu adalah sebuah badan sukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (KBS) yang ditubuhkan untuk membangunkan bakat muda dari akar umbi menerusi latihan jangka panjang, konsisten dan bersistematik. – UTUSAN










