PETALING JAYA: Semua aktiviti pembakaran terbuka perlu dihentikan bagi mengelak kebakaran tidak terkawal, ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan tegas perlu diambil susulan peningkatan suhu sehingga mencecah 40 darjah Celsius yang menyebabkan persekitaran lebih mudah terdedah kepada kebakaran, khususnya di kawasan terbuka dan tanah gambut.
Menurutnya, orang ramai diingatkan tidak melakukan sebarang pembakaran termasuk sampah, sisa kebun atau membersihkan tanah kerana api boleh merebak dengan cepat dalam cuaca panas.
“Individu yang didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Masyarakat perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan persekitaran, selain segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Hisham berkata, JBPM mengendalikan sebanyak 6,575 kes kebakaran dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding 9,941 kes bagi keseluruhan 2025.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 1,920 hektar telah direkodkan di 194 lokasi berbeza merangkumi 39 daerah di seluruh negara, dengan setiap kejadian melibatkan keluasan melebihi dua hektar,” katanya.
Nor Hisham berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa titik panas di kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi berlakunya kebakaran sepanjang gelombang haba melanda Semenanjung.
Katanya, pemantauan akan dipergiatkan khususnya di tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Johor sebagai langkah pencegahan awal.
“Ini termasuk penggunaan dron bagi mengesan kebakaran lebih awal terutama melibatkan kawasan terbuka dan berisiko,” katanya.
Tambahnya, tiga kebakaran besar masih aktif ketika ini melibatkan kawasan Pekan (100 hektar) dan Rompin (50 hektar) di Pahang serta Pengerang, Johor seluas 90 hektar.
Beliau berkata, Kedah mencatatkan jumlah kes kebakaran tertinggi setakat tahun ini iaitu 1,508 kes, diikuti Johor (1,351) dan Selangor (674).
“Dari segi keluasan kebakaran besar, Johor merekodkan kawasan terjejas paling luas iaitu 1,208 hektar diikuti Pahang (272), Selangor (177.99) dan Sabah (142.52).
“Semua kebakaran di Selangor dan Sabah telah dipadamkan, manakala hanya tiga lokasi masih terbakar di Pahang dan Johor,” ujarnya.
Mengulas jualan bunga api dan mercun, Nor Hisham berkata, pengeluaran lesen perniagaan bergantung kepada pematuhan undang-undang termasuk mempunyai alat pemadam api dan jarak selamat.
Katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan JBPM dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi gerai jualan bunga api seluruh negara.
Nor Hisham berkata, pelaksanaan khidmat nasihat teknikal tersebut akan dilaksanakan sebelum pengeluaran permit perniagaan kepada pemohon.
“Pelaksanaan ini kita jalankan untuk musim perayaan seterusnya dan ia tertakluk kepada setiap pengeluaran permit atau lesen,” katanya.
Nor Hisham berkata, setiap peniaga perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api sebagai langkah pencegahan awal. – UTUSAN










