Hasil padi Terengganu turut terjejas teruk akibat kemarau

Hasil padi Terengganu turut terjejas teruk akibat kemarau

JENTERA melakukan kerja-kerja menuai padi di Kampung Darat Hilir, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Hasil padi musim ini yang diusahakan pesawah sekitar Kampung Darat Hilir, Batu Rakit, di sini merosot sehingga 70 peratus akibat kekurangan air ekoran cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Ketua Unit Pesawah Kampung Darat Hilir, Mohd. Yusof Sulong berkata, pengeluaran padi di kawasan itu dianggarkan hanya sekitar 60 tan metrik berbanding 200 tan metrik pada musim lalu.

Katanya, keadaan tersebut jelas menunjukkan kemerosotan ketara yang menjejaskan pendapatan pesawah.

“Hasil padi sangat teruk kali ini kerana kekurangan air. Kami baru sahaja selesai menuai kira-kira seminggu lalu melibatkan 6.07 hektar daripada keseluruhan 48.56 hektar kawasan sawah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Menurut Mohd. Yusof, seramai 62 pesawah di kawasan berkenaan kini berdepan cabaran besar apabila sebahagian tanaman padi tidak menjadi akibat kekurangan sumber air.

Katanya, keadaan seumpama itu jarang berlaku dengan banyak kawasan sawah kekurangan sumber air sekali gus menjejaskan pertumbuhan pokok padi.

Sementara itu, seorang pesawah dari Kampung Maras Tengah, Mohammad Zakaria, 67, berkata, hasil yang bakal diperoleh dijangka merosot hampir separuh.

Katanya, bagi kawasan sawah seluas 2.83 hektar yang diusahakannya, dia menjangkakan hanya mampu memperoleh kurang empat tan metrik padi berbanding kira-kira sembilan tan sebelum ini.

“Musim ini memang sangat terkesan. Ada pesawah mungkin tidak dapat pulangan modal kerana hasil terlalu rendah. Bagi saya, jika dapat pulang modal pun sudah memadai,” katanya.

Menurutnya, kos permulaan untuk mengusahakan sawah setiap musim mencecah hampir RM2,000 bagi pembelian benih padi dan racun tidak termasuk kos tambahan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN