KUALA LUMPUR: Pelakon dan model meningkat naik, Hariz Hamdan mengakui belum pernah merasai pengalaman pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri seperti kebanyakan masyarakat lain.
Menurut Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 24, keadaan itu membuatkan ibunya sering berpesan agar dia mencari pasangan hidup yang menetap jauh sedikit supaya berpeluang merasai suasana beraya di kampung.
“Sejujurnya, saya tidak pernah ada pengalaman balik kampung atau beraya berhari-hari seperti orang lain.
“Ibu saya pun selalu berpesan, kalau nak cari jodoh, carilah yang tinggal agak jauh supaya saya dapat merasai pengalaman balik raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Hariz menegaskan lokasi pasangan bukanlah keutamaan, asalkan tidak terlalu jauh sehingga menetap di luar negara.
“Saya tidak kisah jodoh saya di mana, asalkan jangan terlalu jauh seperti di luar negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, di sini.
Dalam pada itu, Hariz turut meluahkan keinginan untuk merasai sendiri pengalaman pulang ke kampung seperti yang sering dikongsikan rakan-rakan di media sosial termasuk berdepan kesesakan jalan raya.
“Saya memang teringin nak beraya di kampung. Bila tengok media sosial, kawan-kawan kongsi pengalaman tersangkut dalam kesesakan, saya pun teringin nak rasa.
“Walaupun saya tahu situasi itu tidak menyeronokkan, tetapi kadang-kadang kita tetap mahu merasainya,” katanya.











