Harga subsidi RON95 bertahan dua bulan

Harga subsidi RON95 bertahan dua bulan

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Sepang, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia mampu me­ngekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter se­hingga dua bulan ekoran ke­tidaktentuan harga minyak glo­bal akibat serangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik Asia Barat dan penutupan berpanjangan Selat Hormuz berpotensi mencetuskan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, kerajaan setakat ini masih mampu mengekalkan harga bersubsidi RON95 dan akan mengambil langkah sewajarnya jika konflik Iran berterusan.

“Kita akan cuba kawal termasuk RON95 sekadar RM1.99 seliter. Kita akan memantau perkara ini kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Namun petanda awal tidak begitu baik dan tidak menyenangkan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, di sini semalam.

Selat Hormuz merupakan satu-satunya laluan laut dari Teluk Parsi dan menjadikannya antara laluan strategik paling penting di dunia.

Dianggarkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global termasuk Asia melalui laluan perairan tersebut yang ditutup oleh Iran pada Isnin lalu susulan serangan yang dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap negara itu.

Dalam pada itu, Anwar meminta semua pihak sama ada sektor awam dan swasta perlu berwaspada terhadap konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.

“Ini akan menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka. Jadi yang boleh cermat, berhati-hati mulai sekarang.

“Saya syor supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya waspada tentang perkara ini dan jangan pandang ringan,” katanya.

Katanya, kerajaan akan mengambil langkah segera khususnya memantau kesan langsung terhadap sektor import negara.

Beliau menambah, kos barangan, import bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan harga makanan juga dijangka meningkat akibat ketidaktentuan situasi global.

Anwar berkata, penyelesaian perlu dicari sebelum keadaan menjadi lebih buruk kerana keadaan semasa dunia tidak boleh dipandang ringan.

“Kita mesti jujur, ikhlas dan jelas kepada masyarakat. Kita perlu memantau keadaan dan tidak boleh bersikap leka seolah-olah tiada apa yang berlaku. Perlu lebih berhati-hati mulai sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, tempias akibat serangan yang dilakukan oleh AS dan Israel terhadap Iran masih masih dalam keadaan terkawal.

“Buat sementara ini, nampak masih terkawal tapi kita tahu bahawa kapal-kapal minyak dan gas dan peralatan itu tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal.

“Dan tentunya akan menjejaskan dari segi perniagaan, perdagangan, begitu juga tentang kos pengangkutan yang meningkat kerana jalan yang lebih jauh yang terpaksa digunakan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×