Harga minyak mentah kembali melonjak - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah kembali melonjak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah kembali melonjak selepas penurunan mendadak kelmarin, berikutan harapan untuk mencapai kejayaan diplomatik di antara Amerika Syarikat dan Iran yang masih belum jelas. 

Pada pukul 5.45 petang semalam, harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS105 setong, naik 3.83 peratus kepada AS$106.1 (RM419.93) setong manakala minyak mentah WTI melonjak 3.64 peratus kepada AS$93.61(RM370.50)  setong.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, berikutan situasi terbaharu ini, Malaysia kini berdepan risiko pendedahan terhadap kejutan harga minyak global yang bukan lagi sekadar melibatkan aspek inflasi, tetapi telah beralih kepada tekanan fiskal, kerentanan perdagangan, dan risiko geopolitik yang kompleks.

Katanya, terdapat tanggapan silap bahawa ekonomi moden yang kurang bergantung kepada tenaga berbanding era 1970-an akan menjadikan kesan gangguan bekalan minyak lebih terkawal.

“Naratif tersebut adalah tidak lengkap kerana krisis hari ini merupakan kejutan geopolitik di mana ketidaktentuan bertindak sebagai saluran transmisi utama yang memberi kesan kepada pasaran melalui isyarat dan kredibiliti politik.

“Bagi Malaysia, risiko tidak hilang, ia cuma berubah bentuk. Bahayanya adalah apabila kita percaya bahawa impak ini telah pun diserap sepenuhnya oleh ekonomi,” katanya. 

Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, wujudnya ‘paradoks fiskal’ di mana kenaikan harga minyak dunia yang meningkatkan hasil kerajaan melalui Petronas, sebenarnya diimbangi dengan pantas oleh lonjakan kos subsidi, termasuk skim bersasar seperti Budi95.

“Harga minyak yang tinggi mengukuhkan hasil tetapi melemahkan fleksibiliti kewangan negara. Pembuat dasar kini berdepan pilihan sukar sama ada mengekalkan subsidi dan menanggung kos yang tinggi, atau melaksanakan rasionalisasi yang berisiko mencetuskan inflasi dan tindak balas politik,” jelasnya.

Beliau menambah, tekanan subsidi yang berterusan boleh membentuk persepsi pelabur terhadap kredibiliti fiskal Malaysia dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Selain faktor fiskal, pendedahan Malaysia turut terikat dalam rantaian bekalan global, terutamanya sektor elektrik dan elektronik (E&E). 

Kenaikan harga minyak meningkatkan kos penghantaran, mengganggu logistik, dan menaikkan harga barangan perantaraan.

“Dahulu, minyak memberi kesan terus kepada penggunaan. Hari ini, ia bergerak melalui pengeluaran dan perdagangan. Margin keuntungan syarikat akan mengecil dan daya saing negara boleh melemah apabila kos tenaga luar negara yang tinggi turut membantutkan permintaan eksport,” katanya.

Mengulas mengenai konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, Mohd Sedek berkata, pasaran kini lebih banyak dipengaruhi oleh naratif berbanding fundamental. Kenyataan yang bercanggah antara Washington dan Tehran menyebabkan harga minyak turun naik dengan pantas.

Sebagai ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia tidak mampu mencorakkan hasil daripada konflik ini tetapi perlu mengemudi kesannya terhadap aliran modal, nilai ringgit dan harga aset.

“Ringgit kekal sensitif terhadap sentimen luaran. Ketidaktentuan global di luar negara akan terpancar dengan cepat kepada kestabilan ekonomi di dalam negara,” tambah beliau.

Katanya, reformasi subsidi tidak lagi boleh ditangguhkan selama-lamanya dan penyusunan fiskal mestilah bersifat kredibel bagi memastikan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi kejutan luaran yang lebih kos seiring peredaran masa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×