KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengutamakan reformasi lebih penting seperti mewujudkan Akta Pendanaan Politik terlebih dahulu berbanding membuat pindaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ke 10 tahun.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, ketiadaan Akta Pendanaan Politik sepatutnya diperkenalkan terlebih dahulu memandangkan Malaysia merupakan antara negara yang tidak mempunyai undang-undang tersebut.
Kata beliau, ketiadaan akta tersebut menyebabkan ahli politik menjadi ‘hamba’ kepada mereka yang mempunyai duit kerana pelaburan kecil sebelum pilihan raya.
“Mereka beri sehingga RM10 juta, mungkin bukan kepada satu pihak tetapi semua parti dengan jaminan kalau menang (pilihan raya) dan tidak ada ketulusan ini, sesiapa pun jadi Perdana Menteri, mana-mana parti pun yang menang perlu beri kontrak yang jauh lebih lumayan.
“Sebab itu, kita telah lihat pertukaran Perdana Menteri dan parti berkali-kali tetapi sampai ke hari ini kita masih tiada Akta Pendanaan Politik. Ini menunjukkan masalah sistemik yang menjerat budaya politik di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Syed Saddiq berkata, Akta Pendanaan Politik mempunyai kaitan dengan RUU menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
“Kita perkenalkan akta ini untuk mengurangkan kuasa Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri yang masih pegang kuasa Menteri Kewangan, yang menjaga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang mengagihkan kontrak berbilion-bilion ringgit.
“Itu tetap pemusatan kuasa yang luar biasa, sampai ke hari ini, kalau ada syarikat gergasi yang culas atau tidak mahu membayar cukai, jumpa Menteri Kewangan, boleh dapat pengecualian khas dan pengecualian khas itu tidak didedahkan kepada Parlimen serta umum,” katanya.-UTUSAN










