PETALING JAYA: Gas Malaysia Bhd. (Gas Malaysia) mengumumkan pelantikan bekas pengarah urusan Siemens Energy Malaysia, Azli Mohamed sebagai Presiden syarikat itu berkuat kuasa 1 April ini.
Azli, 50, akan menyertai syarikat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terpilih pada 9 Mac ini sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepimpinan yang teratur bagi menggantikan Ahmad Hashimi Abdul Manap yang bakal bersara.
Gas Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Azli akan memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam menerajui kepimpinan dan pengurusan kumpulan secara keseluruhan bermula April depan.
“Beliau membawa pengalaman kepimpinan kanan selama lebih dua dekad merentas sektor tenaga, penerbangan dan industri. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan penting termasuk di Kumpulan AEON Malaysia, Capital A Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. dan GE Malaysia.
“Keupayaan beliau dalam menerajui program transformasi dan pertumbuhan berskala besar akan menyokong Gas Malaysia ketika kami melangkah ke fasa seterusnya dalam pelan GM32 yang memfokuskan kepada pelaksanaan berdisiplin, pengurusan tunai dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Hashimi, 61, akan bersara pada akhir Mac ini selepas berkhidmat dengan Gas Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1992.
Beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan dalam kumpulan sebelum dilantik ke jawatan Presiden pada 12 Februari 2015.
Ahmad Hashimi, yang memegang 21,500 saham dalam Gas Malaysia, juga merupakan pengerusi bagi beberapa anak syarikat dan syarikat usaha sama di bawah kumpulan berkenaan.
Pelantikan Azli dilihat sebagai langkah strategik Gas Malaysia dalam memperkukuh prestasi komersial dan disiplin operasi syarikat dalam persekitaran kawal selia yang kompetitif. –UTUSAN









