PETALING JAYA: Syarikat infrastruktur digital dunia, Equinix Inc. melancarkan Hab AI Teragih bagi membantu perusahaan menghubungkan dan memudahkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) mereka yang semakin kompleks.
Hab yang dikuasakan oleh Equinix Fabric Intelligence itu berfungsi sebagai lokasi neutral untuk perusahaan mengakses pembekal infrastruktur AI termasuk syarikat model, awan Unit Pemprosesan Grafik (GPU), platform data serta perkhidmatan rangkaian dan keselamatan.
Ketua Pegawai Perniagaan Equinix, Jon Lin berkata, AI pada dasarnya tidak bersifat berpusat, namun infrastruktur yang tepat mampu memastikannya beroperasi dengan lancar.
“Kami memberi kebebasan kepada perusahaan untuk membina dan mengembangkan AI di mana sahaja data, rakan kongsi dan pasukan mereka berada, tanpa beban operasi yang datang daripada penyambungan sistem teragih yang kompleks.
“Menerusi hab ini, kami menyediakan cara yang lebih mudah, pintar dan terhubung untuk pelanggan menjalankan skala AI mereka hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut firma penyelidikan IDC, sebanyak 80 peratus perusahaan dijangka akan menggunakan infrastruktur pinggir teragih menjelang 2027 bagi meningkatkan respon aplikasi AI mereka.
Berbeza dengan pasaran AI penyedia awan besar yang cenderung memihak kepada perkhidmatan sendiri, Hab AI Teragih direka secara terbuka dan neutral, membolehkan pelanggan memilih kombinasi teknologi terbaik mengikut keperluan mereka.
Dalam pada itu, integrasi pertama hab ini bersama Palo Alto Networks membolehkan pelanggan mengaktifkan perlindungan masa nyata bagi interaksi model AI dengan sumber data luaran melalui rangkaian peribadi berkelajuan tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi dan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CTO/CISO) Alembic, Lloyd Taylor berkata, inisiatif Equinix ini menyelesaikan masalah penempatan dan tadbir urus data dalam satu seni bina yang sama.
“Ini adalah faktor yang menjadikan AI teragih boleh dilaksanakan pada skala perusahaan yang besar,” katanya.
Hab AI Teragih kini tersedia secara global di 280 pusat data Equinix, sekali gus membolehkan syarikat-syarikat besar melaksanakan corak infrastruktur AI yang konsisten di seluruh dunia. –UTUSAN









