Enam jawatan pengurusan tertinggi kerajaan dirombak - KSN

Enam jawatan pengurusan tertinggi kerajaan dirombak – KSN

SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan beberapa perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam yang akan berkuat kuasa Isnin ini, melibatkan enam pegawai kanan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan pentadbiran awam selaras dengan tuntutan reformasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata, antara perubahan itu ialah pelantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin, yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, akan bertukar penempatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut terlibat dalam perubahan tersebut ialah Datuk Rahimi Ismail, yang sebelum ini Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

Pada masa sama, Datuk Noor Azman Abdul Rahman, yang kini Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Selain itu, Datuk Amran Ahmad, yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut Shamsul Azri, perubahan tersebut merupakan manifestasi kepada tuntutan reformasi yang memerlukan kepantasan serta ketangkasan luar biasa dalam pentadbiran kerajaan.

“Perkhidmatan awam perlu lebih telus dan berintegriti dalam melahirkan sektor awam yang lebih berdaya saing serta relevan dengan peredaran zaman.

“Berlandaskan prinsip #taatsetia, setiap pelantikan ini membawa amanah besar untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja serta negara dalam merealisasikan visi Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini