Empat ladang dibeli FELCRA tidak lalui penilaian bebas

Empat ladang dibeli FELCRA tidak lalui penilaian bebas

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) didapati membeli empat ladang sawit tanpa penilaian bebas daripada pihak luar.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung pengurusan ladang sawit oleh FELCRA sebanyak sembilan kali bermula 21 Ogos hingga 3 November lalu.

Kata beliau, terdapat sembilan rumusan dari prosiding itu dan antaranya adalah Lembaga Pengarah meluluskan perolehan empat ladang sawit baharu dari daripada 33 tawaran bagi memenuhi sasaran 30,000 hektar ladang sawit di bawah Pelan Transformasi Dan Hala Tuju Strategik FELCRA.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, pembelian empat ladang sawit itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman FELCRA.

“Keputusan pembelian empat ladang sawit tersebut dibuat hanya berdasarkan kajian dalaman, dan tiada penilaian due diligence oleh pihak luar dilaksanakan seperti diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Isu kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai pembelian ladang adalah termasuk urusan menandatangani perjanjian yang tergesa-gesa dan rekod mesyuarat yang tidak teratur,” katanya.

Berdasarkan laporan LKAN, didapati terdapat ketakteraturan serius dan kelemahan tatakelola dalam proses perolehan, penilaian harga dan hasil sawit serta pematuhan kepada kontrak perjanjian bagi perolehan empat ladang sawit.

Empat ladang sawit terbabit adalah di Estet Telupid di Sandakan, Sabah dan tiga ladang sawit di Gua Musang, Kelantan iaitu Estet Dabong, Estet Sungai Rawit Dua serta Estet Aring.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC turut merumuskan bahawa kawal selia Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terhadap FELCRA terhad kepada pemantauan projek-projek pembangunan yang dibiayai di bawah bajet pembangunan dan kehadiran wakil kementerian ke mesyuarat Lembaga Pengarah.

Selain itu, katanya, strategi FELCRA untuk membeli dan memulihkan ladang kurang berdaya maju yang lebih murah mendedahkan syarikat kepada risiko tempoh masa sangat panjang untuk mendapatkan semula modal pelaburan asal.

“Yang mana hasil sebenar estet-estet yang dibeli didapati jauh berbeza berbanding unjuran hasil awal. Akibatnya, tempoh Pulangan Pelaburan (ROI) terpaksa dilanjutkan kepada 11 ke 22 tahun.

“Walaupun terdapat isu hasil dan sasaran yang tidak mencapai tahap seperti ditetapkan, prestasi keempat-empat ladang sawit yang diperoleh kini telah mula menunjukkan peningkatan.,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, FELCRA amat bergantung kepada tenaga kerja asing iaitu hampir 80 peratus kerana cabaran lapangan serta kedudukan ladang terpencil dan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan, di samping kadar keluar masuk pekerja yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, syarikat menunjukkan kapasiti teknikal dalaman yang baik dengan produktiviti purata sebanyak 1.6 metrik tan per man-day, setara purata nasional untuk melaksanakan penilaian teknikal/ agronomi dan pemulihan ladang,” katanya.

Beliau berkata, FELCRA sudah mengambil langkah pembetulan dengan menyelesaikan isu tunggakan dan pendaftaran pajakan Estet Aring serta menubuhkan Jawatankuasa Risiko dan Pelaburan untuk proses tapisan.

“SOP perolehan telah diperketatkan berkuat kuasa 15 Ogos 2025 untuk mewajibkan penilaian pihak ketiga, kehadiran wakil kementerian, dan menetapkan garis masa minimum 15 hingga 30 hari untuk menandatangani perjanjian, bagi mencegah kelemahan tadbir urus,” katanya.

Tambahnya, walaupun kedudukan kewangan kumpulan FELCRA kekal kukuh dengan keuntungan bersih konsisten dalam tempoh 2021 hingga 2024 tetapi sasaran perolehan land bank seluas 30,000 hektar 30,000 hektar di bawah Pelan Transformasi 2.0 menjelang 2025 hanya mencapai 13 peratus sahaja.

“Iaitu sebanyak 4,016.89 hektar. Kegagalan perolehan land bank yang mencukupi ini menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan jangka panjang syarikat untuk menampung kos operasi dan mengekalkan daya saing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini