SUNGAI PETANI: Dua anggota tentera direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes mencederakan dua rakan setugas mereka, Khamis lalu.
Perintah reman terhadap dua anggota berpangkat koperal berumur 25 dan 27 tahun hingga Rabu ini dikeluarkan Majistret Mohd. Azlan Basri bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Suspek yang bertugas di sebuah kem di Sungai Layar tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.20 pagi dengan menaiki trak polis sebelum dibawa keluar kira-kira sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mereka ditahan malam tadi susulan laporan polis dibuat mangsa kerana mengalami kecederaan pada badan.
“Laporan awal mangsa memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 10.05 malam dalam bilik penginapan salah seorang koperal terbabit di kem berkenaan, pada Khamis lalu.
“Mangsa memaklumkan selain ditumbuk di muka, dia dan rakannya turut ditendang dan dipukul menggunakan rotan serta tali oleh dua koperal itu di bahagian punggung dan tapak kaki,” katanya.
Hanyan berkata, kedua-dua mangsa yang berumur 21 dan 24 tahun itu turut diarah melakukan latihan fizikal (PT) di koridor kediaman itu sehingga awal pagi.
“Kejadian itu dikatakan berpunca daripada kedua-dua mangsa tidak membalas mesej dalam kumpulan sembang hingga menimbulkan kemarahan rakan setugas.
“Mereka mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan siasatan lanjut sedang diteruskan,” katanya. – UTUSAN










