Dua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah didenda RM31.8 juta

Dua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah didenda RM31.8 juta

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dikenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) sebanyak RM31.8 juta selepas gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan.

Kata beliau, kelewatan dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti dan prestasi kontraktor di tapak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai jumlah pakej LPB Sabah yang lewat siap melebihi jadual asal dan nilai penalti LAD dikenakan kepada kontraktor terlibat.

Sementera itu, Ahmad berkata, fasa 1A melibatkan 16 pakej kerja telah mencapai kemajuan 86.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.

Katanya, fasa 1B pula merangkumi 19 pakej kerja, berada pada tahap 13.56 peratus dan disasarkan siap pada suku keempat 2028.

“Untuk kerja-kerja di jajaran fasa 1B, ia baru sahaja dimulakan secara intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, kementerian melaksanakan penyelenggaraan rutin yang lebih agresif termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang lebih efektif bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini