PETALING JAYA: Seramai 413,372 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025 akan mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing hari ini.
Calon-calon boleh mendapatkan keputusan tersebut bermula pukul 10 pagi di sekolah masing-masing.
Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan menyediakan kemudahan semakan lain termasuk secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.
Bagi semakan secara dalam talian, pautan berkenaan akan dibuka bermula pukul 10 pagi hari ini sehingga pukul 6 petang pada 6 April ini.
Keputusan tersebut dikeluarkan selepas peperiksaan berkenaan berlangsung hampir dua bulan, bermula pada 3 November hingga 23 Disember 2025 di 3,350 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Satu sidang akhbar juga akan diadakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berhubung pengumuman keputusan peperiksaan itu di Putrajaya.
Sebagai rekod, SPM 2024 mencatatkan peningkatan dengan 14,179 calon mendapat keputusan cemerlang semua A (A+ dan A-) berbanding 11,713 calon pada tahun sebelumnya.
Kejayaan itu menjadikan keputusan SPM 2024 direkodkan sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun, sejak syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan pada tahun 2013. UTUSAN










