PETALING JAYA: Tuduhan berhubung transaksi berjumlah RM9.5 juta yang dikaitkan dengan seorang Ahli Parlimen kerajaan perlu disokong dengan fakta kukuh serta disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, dakwaan yang dibangkitkan masih bersifat umum tanpa bukti jelas, selain hanya merujuk kepada individu yang tidak dikenal pasti secara khusus.
Beliau berkata pihaknya kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kedaulatan undang-undang dalam menangani isu berkenaan.
“Tiada mana-mana individu akan dilindungi sekiranya terdapat bukti salah laku. Dalam masa sama, tiada pihak wajar dihukum melalui persepsi atau spekulasi tanpa asas yang sah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan menyeluruh.
“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan selain mengekalkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan politik dan tadbir urus negara.
“Saya juga menyeru semua pihak termasuk masyarakat dan pengamal media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat,” katanya.
Menurut beliau, penyebaran dakwaan tanpa pengesahan bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian serta reputasi institusi negara.
“Fokus kerajaan ketika ini adalah memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di sebalik ketidaktentuan global.
“Sebarang percubaan mengalih perhatian melalui naratif tidak berasas perlu ditangani secara bijaksana dan berlandaskan fakta,” katanya. – UTUSAN










