NARATHIWAT (THAILAND): Dua beranak termasuk seorang bekas pegawai marin berpangkat leftenan ditahan kerana disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kamonsak Leewamoh pada 20 Mac lalu.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, pihak berkuasa juga masih memburu dua lagi individu yang mempunyai waran tangkap kerana dipercayai terbabit dalam serangan itu.
Beliau berkata, kedua-dua beranak berusia 24 tahun dan 57 tahun itu ditahan dalam operasi bersama Ibu Pejabat Polis Wilayah Narathiwat, tentera dan Polis Wilayah 9 di sebuah rumah di Mukim Tanjong Limo, Daerah Rangae, Narathiwat, malam tadi.
Katanya, pasukan operasi melakukan intipan di sekitar rumah berkenaan kira-kira pukul 8 malam sebelum mengesan kehadiran kedua-duanya yang menaiki sebuah pikap dipercayai baharu pulang dari Hat Yai.
“Anggota operasi diketuai Kolonel Niyom Suwannakhong melakukan serbuan dan menahan kedua-duanya pukul 11.10 malam tadi. Kedua-duanya tidak melawan ketika ditahan. Suspek utama adalah bekas anggota marin yang dibuang kerja kerana melakukan jenayah serius. Dia juga dipercayai terlibat sebagai pembunuh upahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sumber itu berkata, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa barang termasuk pistol 11mm bersama 10 butir peluru dan telefon bimbit.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa untuk ujian DNA dan pemeriksaan forensik selain untuk disoal siasat mengenai siapa yang mengupah mereka melakukan serangan ke atas Ahli Parlimen berkenaan.
Sumber itu turut mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa pemeriksaan trajektori peluru dua raifal M16 yang digunakan dalam serangan itu menunjukkan senjata api berkenaan tidak pernah digunakan dalam mana-mana insiden berkaitan keselamatan di tiga wilayah Selatan Thai.
“Bagaimanapun, dua beranak dan dua lagi yang masih bebas adalah suspek utama yang melakukan serangan itu,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, akhbar ini melaporkan, Kamonsak terselamat dalam cubaan bunuh di hadapan rumahnya di Mukim Bacho, Daerah Bacho.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang anggota polis yang juga sepupu Kamonsak, Sarjan Polis Harirak Heemmina, 43, dan pemandu, Uchalam Kohloh, 55, cedera parah terkena beberapa das tembakan. – UTUSAN










