PETALING JAYA: Enam kawasan di utara Semenanjung mengalami cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga mencecah 37 darjah Celsius.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), kawasan terlibat ialah Perlis serta beberapa daerah di Kedah termasuk Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda.
Ia selepas suhu maksimum harian mencatat antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Menurut MET Malaysia, Tahap Satu menandakan keadaan panas berterusan yang memerlukan orang ramai lebih berhati-hati, terutamanya golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.
Orang ramai dinasihatkan memperbanyakkan pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan aktiviti luar terutama antara pukul 11 pagi hingga 4 petang apabila suhu berada pada tahap puncak.
Selain itu, pemakaian pakaian longgar dan berwarna cerah digalakkan untuk membantu menyejukkan badan dan orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap maklumat dan amaran terkini melalui aplikasi myCuaca serta saluran media sosial rasmi MET Malaysia.
Sekiranya suhu terus meningkat melepasi 37 darjah Celsius, kawasan terlibat berdepan risiko dinaikkan ke tahap dua (Gelombang Haba), sekali gus memberi isyara fenomena panas ekstrem boleh menjadi ancaman lebih serius jika berlarutan. – UTUSAN










