Bukan tentang Da'i Syed - Erma Fatima

Bukan tentang Da’i Syed – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Erma Fatima menafikan dakwaan yang kononnya drama terbaharu arahannya, Jangan Panggil Aku Gus adalah mengenai pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful atau Da’i Syed.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 58, berkata, dia langsung tidak mengikuti perkembangan individu terbabit, justeru tidak pernah mahu mengangkat kisahnya sebagai cerita dalam dramanya.

“Apa yang berlaku kepada dia, saya sendiri tak tahu kebenarannya.

“Jadi, saya tidak akan buat perkara yang saya tidak tahu. Dan saya pun tidak mahu menyentuh isu orang lain yang kita tak tahu kebenarannya.

“Itulah maksud saya. Saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan,” katanya.

Terdahulu, seorang netizen menuduh kononnya karya terbaharu Erma itu diinspirasikan kisah Da’i Syed yang kini berdepan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.

Mengulas lanjut, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia edisi ke-9 dan ke-11 itu memaklumkan penggambaran Jangan Panggil Aku Gus berjalan lancar sekitar Februari lepas.

“Alhamdulillah, drama ini menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya berharap selepas ini akan lebih banyak lagi drama atau filem seperti ini.

“Macam filem Gadis Hitam Putih yang dihasilkan satu masa dulu. Lama tak buat usahasama seperti ini,” katanya lagi.

Bercakap tentang keterbukaan dirinya untuk kembali mengarah selepas 10 tahun, Erma memaklumkan, semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua pengarah terpaksa ‘melepaskan’ projek ini.

“Masa saya minta Pali Yahya arahkan projek ini, dia belum selesai penggambaran projek lain.

“Pengarah, Raja Mukhriz pula menolak kerana ibunya sedang nazak. Itu dua orang calon saya.

“Bila dua-dua tidak boleh, saya terpaksa turun dan lagipun, saya nak mengarah filem tak lama lagi (selepas raya). Jadi, ini macam pemanas badan buat saya,” katanya.

Jangan Panggil Aku Gus menampilkan pelakon popular dari Malaysia dan Indonesia termasuk Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida dan Vanida Imran.

Projek rentas negara ini bakal disiarkan secara rasmi di aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN