PETALING JAYA: Puntung rokok yang dibuang sembarangan mampu mencetuskan kebakaran hutan, terutama ketika negara berdepan cuaca panas melampau dengan suhu mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, keadaan cuaca panas menyebabkan rumput dan daun menjadi kering sekali gus mudah terbakar, khususnya di kawasan tanah gambut.
Menurutnya, kebakaran yang berlaku bukan sahaja mengancam keselamatan, malah memberi kesan kepada kesihatan apabila partikel halus daripada asap memasuki sistem pernafasan.
“Puntung rokok yang dibuang merata-rata boleh mencetuskan api. Malah, pantulan cahaya daripada objek seperti kaca juga berpotensi menyalakan daun kering.
“Keadaan cuaca panas yang berlarutan hampir sebulan menyebabkan tumbuhan menjadi kering dan meningkatkan risiko kebakaran jika berlaku kecuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, semua aktiviti pembakaran terbuka perlu dihentikan bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Dalam pada itu, Aweng berkata, suhu semasa kini jauh lebih tinggi berbanding dua dekad lalu berdasarkan kajian sejak 2014 yang menunjukkan peningkatan ketara akibat pemanasan global.
“Jika isu pemanasan global tidak ditangani secara serius melalui pengurangan gas rumah hijau, keadaan ini akan menjadi semakin tidak terkawal.
“Usaha mengawal perubahan ini perlu bermula daripada individu walaupun kecil, namun penting sebagai langkah awal,” katanya.-UTUSAN









