PETALING JAYA: Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sejajar dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang mula berkuatkuasa semalam.
Susulan penguatkuasaan akta itu, pemberi kredit seperti syarikat skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), syarikat pemajakan dan syarikat pemfaktoran (factoring) diwajibkan mendapatkan lesen daripada SKP bermula 1 Jun depan.
Pada masa sama, pemberi perkhidmatan kredit seperti agensi pemungut hutang serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang juga perlu berdaftar dengan SKP bagi menjalanan aktiviti masing-masing.
Keperluan pelesenan dan pendaftaran akan berkuat kuasa mulai 1 Jun dengan tempoh peralihan selama enam bulan diberikan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu adalah langkah penting kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.
“Dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna, kerajaan memperkukuhkan perlindungan kepada pengguna supaya mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya.
Beliau berkata, akta itu berperanan mengawal selia pelakuan industri kredit pengguna di Malaysia secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan seperti menyediakan kerangka kawal selia yang menyeluruh dan konsisten.
“Ia juga membabitkan pembangunan Piawaian Kebenaran (Authorisation Standards) dan Piawaian Tingkah Laku. Selain membangunkan kerangka dan maklumat bersepadu serta berkesan bagi pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan.
“Langkah itu juga bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tahap tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab serta professional,” katanya.-UTUSAN











