PETALING JAYA: Varieti padi baharu yang tahan cuaca panas kini berada di peringkat akhir untuk dikeluarkan dan dijangka mampu membantu pesawah menghadapi musim kemarau yang semakin mencabar.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata, benih dikenali sebagai Putra-CR atau Berdaya Tahan Iklim itu dibangunkan oleh penyelidik institusi berkenaan.
Menurutnya, benih tersebut kini melalui fasa akhir untuk disenaraikan sebagai padi sah negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan selepas menjalani beberapa siri ujian di kawasan sawah.
Katanya, percubaan awal dilakukan pada 2023 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melibatkan plot seluas 0.5 hektar.
“Hasil menunjukkan Putra-CR mampu mengeluarkan hasil dalam keadaan tanah kering dan suhu tinggi antara Januari hingga Mei.
“Pada awal 2024, percubaan diperluaskan secara berskala sederhana bersama pesawah di Kampung Muring, Peringat, Kelantan dengan peningkatan hasil direkodkan berbanding varieti lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, hasil padi di beberapa kawasan utama negara dilaporkan merosot sehingga 60 peratus susulan faktor cuaca panas melampau mencecah 37 sehingga 40 darjah Celsius sejak dua minggu lalu.
Dalam pada itu, Anjas Asmara berkata, Malaysia memerlukan kira-kira 2.5 juta tan beras setahun untuk menampung keperluan domestik, namun kadar sara diri (SSR) ketika ini hanya sekitar 56 peratus.
Menurut beliau, perubahan iklim termasuk peningkatan suhu dan pengurangan taburan hujan memberi kesan ketara terhadap hasil padi.
“Kajian menunjukkan peningkatan satu darjah Celsius pada waktu malam boleh mengurangkan hasil padi kira-kira 10 peratus,” katanya.
Katanya, bekalan air amat diperlukan terutama dalam tempoh 60 hari pertama penanaman serta penggunaan varieti padi tahan kemarau bagi mengurangkan risiko penurunan hasil.-UTUSAN










