BAGAN DATUK: Bekalan kelapa bagi memenuhi keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di daerah ini mencukupi walaupun negara kini berdepan cuaca panas.
Malah, harga kelapa juga kekal stabil antara RM1.80 hingga RM2.50 sebiji bergantung kepada saiz dan kualiti.
Seorang peraih kelapa, Norman Marzuki, 41, berkata, keadaan cuaca panas ketika ini tidak menjejaskan pengeluaran buah kelapa tua yang menjadi sumber utama santan untuk kegunaan masakan tradisi Aidilfitri.
Menurutnya, kualiti buah kelapa yang dituai juga pada tahap baik dengan kebanyakannya bersaiz besar dan menghasilkan santan bermutu tinggi.
“Walaupun cuaca panas, buah kelapa tidak melawas dan hasilnya memuaskan. Bekalan di sekitar Bagan Datuk mencukupi untuk menampung permintaan semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“Ramai pemilik kebun memaklumkan hasil kali ini sangat baik. Kebanyakan buah bersaiz besar berbanding sebelum ini yang banyak bersaiz kecil dan sukar dijual,” katanya ketika ditemui di sini.
Norman yang juga penanam dan peraih kelapa berkata, dia mampu mengumpul ratusan ribu biji kelapa untuk dibekalkan kepada peraih lain termasuk di Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa kawasan di Perak.
Jelasnya, bekalan seterusnya diproses bagi menghasilkan santan segar untuk kegunaan sepanjang Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri malah hingga Aidiladha nanti.
Norman berkata, sebelum ini perubahan cuaca serta musim hujan berpanjangan menyebabkan buah kelapa bersaiz kecil dan tidak menepati piawaian pasaran.
Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku lambakan apabila buah tidak dapat dijual, malah ada yang bercambah dan tidak lagi sesuai untuk diproses menjadi santan.
“Masalah itu berlaku kerana pokok kelapa lama terendam semasa musim hujan. Ketika itu bekalan agak terjejas, namun kini keadaan sudah pulih sepenuhnya.
“Setakat ini saya telah membeli antara 100,000 hingga 300,000 biji kelapa daripada pekebun sekitar bagi menampung permintaan menjelang Aidilfitri, dan jumlah itu dijangka meningkat,” katanya. – UTUSAN










