ALOR SETAR: Beberapa lokasi di Kedah mengalami hujan pada petang ini selepas dilanda cuaca panas berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Seorang penduduk Titi Gajah di Pantai Johor, Sayuti Wan Chik berkata, kawasan rumahnya menerima hujan kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Alhamdulillah, petang ini Titi Gajah (Alor Setar) hujan. Walaupun hanya beberapa minit, memang rasa nikmatnya sebab dapat turunkan sedikit suhu panas ini.
“Walaupun hujan renyai dan sekejap sahaja, orang Alor Setar tetap bersyukur sebab dah lama panas berbahang. Cuma sekarang ini di bandar Alor Setar sudah kembali panas,” katanya di sini hari ini.

Penduduk Jitra, Sufian Ismail, 48, turut bersyukur apabila akhirnya dapat menikmati hujan setelah sekian lama.
“Saya berharap ada hujan lagi sebab sekarang ini sangat panas, di sana sini berlaku kebakaran. Jika ada hujan, sejuk sikit suasana di Alor Setar,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, hampir semua daerah di negeri ini kecuali Langkawi dan Bandar Baharu dijangka menerima turunan hujan atau ribut petir petang ini.
“Dalam fasa peralihan monsun ini selalunya pada sebelah petang akan berlaku hujan atau ribut petir.
“Saya meminta orang ramai peka kepada perubahan cuaca dan merujuk laman web atau media sosial Jabatan Meteorologi untuk maklumat cuaca terkini,” katanya. – UTUSAN











