Bazar Ramadan tarik pelancong

Bazar Ramadan tarik pelancong

Pelancong asing turut merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keunikan bazar Ramadan di Malaysia wajar dipromosi secara lebih meluas dan dimasukkan dalam kalender pelancongan, sekali gus menarik kehadiran pelancong antarabangsa.

Tinjauan Mingguan Malaysia dalam kalangan pelancong di ibu kota baru-baru ini mendapati majoriti bersetuju bahawa bazar Ramadan layak dimasukkan ke dalam kalender pelancongan kerana ia menawarkan pengalaman budaya tempatan yang unik.

Ousama, pelancong dari Belgium yang berasal dari Maghribi dan kini menetap di Thailand, berkata, lawatan sulungnya ke bazar Ramadan berhampiran Masjid Jamek memberi gambaran menarik tentang kehidupan masyarakat Islam di Malaysia.

Katanya, bazar Ramadan berpotensi menjadi tarikan penting dalam Kalender Pelancongan Malaysia 2027 kerana suasananya meriah dengan pelbagai juadah tempatan.

“Kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang menjelang waktu berbuka puasa menjadikan bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli makanan, tetapi ruang sosial yang menghubungkan komuniti.

“Pengalaman ini memberi peluang kepada pelancong merasai sendiri kehidupan masyarakat Islam sepanjang Ramadan, se­kaligus memperkayakan pe­ngalaman pelancongan budaya di negara ini,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar ini me­laporkan suasana Ramadan di negara mendapat perhatian pelancong asing apabila ramai berkongsi pengalaman mereka di media sosial selepas berpeluang menikmati keunikan tradisi berbuka puasa dan mengunjungi bazar Ramadan di sekitar ibu negara.

Situasi berkenaan menolak tanggapan bahawa sektor pelancongan di Malaysia menjadi perlahan sepanjang bulan Ramadan.

Sebaliknya ia membuka peluang kepada satu segmen pelancongan berbeza yang mempunyai keistimewaan tersendiri sekiranya dipromosikan secara agresif.

Pelancong dari Sepanyol, Eduardo pula berkata, kunjungannya ke Kuala Lumpur adalah tidak dirancang selepas penerbangannya pulang ke Sepanyol dibatalkan lapan hari lalu.

Katanya, kedatangan itu memberi pengalaman berharga apabila dia dapat merasai sendiri bersesak di Bazar Ramadan dan mencuba minuman air tebu yang baginya agak mahal di sini.

Sementara itu, pasangan pelancong dari Eropah, Natasha dan Frank turut menyifatkan bazar Ramadan sebagai pengalaman budaya yang unik dan sesuai dijadikan antara tarikan pelancongan di negara ini.

Katanya, makanan di Malaysia mempunyai keunikannya yang tersendiri berbanding dengan dengan makanan di negara yang pernah dilawati oleh mereka dulu dan jarang dijumpai di Eropah. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN