PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM300,000 menerusi kempen “Ramadan Terindah Bersama”.
Inisiatif berskala nasional yang berlangsung sepanjang Februari hingga Mac 2026 itu telah memberi manfaat kepada lebih 7,000 penerima di seluruh negara menerusi pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, inisiatif tersebut mencerminkan peranan institusi kewangan Islam sebagai pemangkin kesejahteraan ummah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
“Ramadan adalah bulan yang mengajar kita nilai empati dan ihsan. Kami percaya peranan kami melangkaui perkhidmatan perbankan, di mana kami perlu menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh dan menyentuh kehidupan mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Rangkaian program bermula dengan pengagihan Kit Ramadan pada 10 Februari lalu di 14 buah negeri, melibatkan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga asnaf dan pertubuhan kebajikan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.
Ini diikuti dengan program Rewang Bubur Lambuk dari 23 Februari hingga 12 Mac, yang menggerakkan sukarelawan warga kerja bank di seluruh negara untuk bersama-sama komuniti setempat.
Selain itu, Bank Muamalat turut mengedarkan lebih 1,500 pek makanan iftar kepada petugas barisan hadapan dan rakan media di Wilayah Tengah sebagai tanda penghargaan atas khidmat mereka.
Pengamal media juga diraikan dalam program khas ‘Sembang Santai Moreh Bersama Bank Muamalat’ yang dihadiri lebih 50 wakil agensi berita.
Program Ziarah Ramadan pula menyaksikan lapan buah rumah kebajikan anak yatim disantuni, manakala Majlis Berbuka Puasa Wilayah dianjurkan di Kelantan, Pulau Pinang, Johor dan Kuching yang melibatkan 205 anak yatim serta asnaf.
Menurut Khairul, pelaksanaan program di seluruh negara itu turut memperlihatkan budaya organisasi yang berteraskan nilai ihsan dan kebersamaan dalam kalangan kakitangannya yang turun padang sebagai sukarelawan.
Bank Muamalat berharap semangat kebersamaan ini akan terus menjadi inspirasi untuk memperluas usaha pemberdayaan komuniti pada masa hadapan. –UTUSAN










