KOTA BHARU Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan sebanyak 24,135 saman melalui sistem kamera Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di hadapan Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian di sini.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kesalahan itu direkodkan dalam tempoh 17 hari bermula 17 Februari lalu iaitu dari arah Kota Bharu–Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu Kota Bharu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 15,553 saman melibatkan pelbagai kenderaan kenderaan dari arah Kota Bharu yang melanggar had laju ditetapkan 60 kilometer sejam.
“Dari arah Kuala Terengganu-Kota Bharu pula sebanyak 8,582 kes. Jumlah pelanggaran tertinggi direkodkan pada 20 Februari iaitu sebanyak 1,771 kes dan terendah pada 5 Mac dengan 969 kes.
“Statistik ini menunjukkan kadar pelanggaran had laju lebih tinggi dari arah Kota Bharu berbanding Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau lokasi kamera AwAS di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, hadapan Istana Negeri di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, selain Istana Negeri Kelantan, kamera AwAS turut dipasang di Kilometer 17 Jalan Gua Musang–Kuala Krai.
“Sebuah lagi kamera AwAS akan dipasang dalam masa terdekat di Kilometer 116 Lebuh Raya Timur-Barat, Jalan Jeli–Grik. Kamera AwAS merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menggantikan sistem AES lama.
“Kamera ini dilengkapi pelbagai ciri baharu termasuk Automated Number Plate Recognition (ANPR) serta keupayaan pemantauan sehingga 360 darjah,” ujarnya.
Mohd. Misuari berkata, AwAS berfungsi mengesan pelanggaran had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat, pusingan U tidak sah serta pemantauan persekitaran jalan raya.-UTUSAN









