Banjir kilat di Nilai cetus kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan

Banjir kilat di Nilai cetus kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan

HUJAN lebat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Nilai terjejas sehingga mengakibatkan kesesakan trafik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hujan lebat petang tadi menyebabkan banjir kilat di Kilometer (KM) 287 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Nilai di sini sehingga mengakibatkan kesesakan trafik di kedua-dua arah.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam hantaran di akaun media sosial rasminya memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu menjejaskan laluan antara Putra Mahkota dan Nilai.

Ia menyebabkan semua lorong arah selatan terhalang manakala lorong kecemasan serta lorong kiri arah utara tidak dapat dilalui.

Menurutnya, Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Nilai Arah Utara turut ditutup sementara bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Susulan kejadian tersebut, kira-kira pukul 8.05 malam pihak lebuh raya memaklumkan lorong kanan dan lorong tengah di kedua-dua arah telah boleh dilalui manakala Hentian Nilai arah utara dibuka semula.

“Namun, trafik dilaporkan sesak sejauh 10 kilometer arah selatan dan empat kilometer arah utara susulan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, banjir kilat itu dilaporkan semakin surut sekitar pukul 8.12 malam tadi dan semua lorong di kedua-dua arah kini boleh dilalui namun trafik masih bergerak perlahan

Beberapa gambar dan video yang dikongsikan oleh pengguna di media sosial menunjukkan air menenggelami sebahagian laluan lebuh raya sehingga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan serta ada yang terpaksa berbuka puasa di dalam kereta.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan, setakat pukul 8.46 malam tadi keadaan banjir di pekan Nilai dan kawasan sekitarnya dilaporkan beransur surut.

Menurutnya, pihak APM kini menjalankan pemantauan di beberapa lokasi terjejas iaitu di pekan Nilai dan Kampung Tanjung.

“Setakat ini air dilaporkan beransur surut dan pemantauan masih dijalankan di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN