Banjir kilat cetus kesesakan luar biasa di ibu kota

Banjir kilat cetus kesesakan luar biasa di ibu kota

KEADAAN banjir kilat menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air khususnya di Jalan Rahmat berhampiran Bangunan PERKIM selepas hujan lebat melanda ibu negara. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesesakan teruk akibat hujan lebat melanda ibu negara sejak pukul 5 petang tadi khususnya di kawasan sekitar dan masih berlarutan hingga kini.

Hujan lebat selama kira-kira sejam itu turut menyebabkan beberapa kawasan utama dinaiki air dengan banjir kilat setinggi pinggang dilaporkan berlaku di Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC Kuala Lumpur).

Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial menunjukkan limpahan air berlaku dengan begitu pantas, menenggelamkan laluan dan menjejaskan pergerakan trafik menuju Titiwangsa dan kawasan sekitarnya.

Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga dikerahkan ke lokasi berikutan kejadian air bertakung di Jalan Rahmat.

Paras air bagaimanapun dilaporkan sudah surut sepenuhnya dan keadaan kembali terkawal.

DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan aliran air lancar serta mengelakkan kejadian sama berulang.

Rakaman video dan gambar yang dikongsi orang awam di media sosial turut menunjukkan kenderaan di hadapan KLCC berhampiran Wisma Getah tidak bergerak hampir setengah jam.

Kesibukan luar biasa turut dikesan di Jalan Tun Razak melibatkan kedua-dua arah dari Sungai Besi mahupun Jalan Pahang berikutan peningkatan paras air yang turut melimpah ke atas jalan.

Kesesakan turut berlaku di Lebuhraya Bertingkat Kuala Lumpur-Ampang (AKLEH), namun kenderaan masih bergerak perlahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN