KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Fattah, meluahkan rasa bangga terhadap perkembangan bakat seni anak perempuannya, Fatimah, yang dilihat mula menunjukkan minat mendalam dalam bidang nyanyian sejak usia muda.
Menurut Fattah, dia tidak menyangka anak kecilnya itu berpeluang merakamkan sebuah lagu, malah lebih membanggakan apabila Fatimah turut berduet bersama ibunya dalam projek berkenaan.
“Saya rasa lagu itu sangat comel dan manis. Sejujurnya, saya sendiri tidak sangka anak saya pada usia sebegitu sudah mampu merakam sebuah lagu dan lebih istimewa apabila dapat berduet dengan ibunya sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, minat Fatimah terhadap muzik bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah mula ditunjukkan sejak kecil lagi apabila gemar menyanyikan pelbagai jenis lagu.
“Dia memang menunjukkan minat yang mendalam terhadap muzik. Selain gemar menyanyikan lagu kanak-kanak, dia juga suka mengikuti lagu-lagu K-pop. Kadang-kadang, ketika kami dalam perjalanan, dia akan menyanyi tanpa henti, dan dari situ saya nampak dia benar-benar ada minat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Fattah berkata sebagai seorang bapa, dia sentiasa menyokong apa jua minat anaknya selagi ia memberi kegembiraan dan tidak memberi kesan negatif.
“Bagi saya, apa yang paling penting adalah kebahagiaan dia. Selagi dia gembira melakukan sesuatu perkara, saya sebagai ayah juga akan turut rasa bahagia.
“Sudah tentu saya akan sentiasa menyokong apa sahaja yang membuatkan Fatimah gembira, dan jika itu adalah bidang seni, saya akan pastikan dia mendapat bimbingan yang terbaik,” ujarnya.











